Monday, February 15, 2010

Perjalanan tidak kesampaian

Peta dari internet

Perjalanan tidak kesampaian

Selepas bersarapan lewat di hotel semalam, aku, isteri aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu menuju Tol Sungai Besi. Di sini kenderaan tidak begitu banyak. Malangnya apabila menghampiri susur keluar Nilai, kenderaan sudah mula tidak bergerak.

Ingatkan perjalanan pada Hari Raya China Pertama tentulah tidak sesesak perjalanan sehari dua sebelum Hari Raya China.

Kesesakan di lebuhraya ini hanya berakhir selepas susur keluar Senawang.

Kami memasuki susur keluar Air Keroh tetapi terperangkap di jalan raya sebaik sahaja selepas membayar tol. Kehadiran polis trafik juga tidak banyak dapat membantu. Terlalu banyak kenderaan yang memasuki Bandar Melaka. Di laluan-laluan pintu masuk ke Zoo Melaka, Taman Buaya, Botanical Garden dan beberapa tempat lain sudah tercegat anggota traffik memberi isyarat melarang masuk dan mengarahkan meneruskan perjalanan. Hampir kesemua tempat-tempat lawatan ini penuh sesak!

Kami sampai ke rumah kakak aku di Taman Seri Teluk Mas di Umbai jam 2 petang! Mengambil masa 4 jam dalam perjalanan dari KL dengan waktu bertolak jam 10 pagi.

Melihatkan kesesakan kenderaan menuju ke Pusat Bandar dan Banda Hilir, aku mengambil jalan lama ke Jasin dan menghala ke Muar. Entah di mana silapnya aku termasuk ke Lebuh AMJ ke Muar. Mujurlah ternampak laluan U-Turn menghala ke Teluk Mas melalui Kampung Bukit Meta.

Semasa merangkak-rangkak dalam perjalanan, aku sudah membayangkan kepada isteri aku seorang itu untuk mencuba Asam Pedas versi Melaka. Kalau boleh nak perkena Asam Pedas Ikan Pari!

Walaupun aku tidak suka makan Ikan Pari yang dimasak selain dari dibakar, keinginan untuk makan Asam Pedas Ikan Pari itu tiba-tiba menjelma dalam fikiran aku. Sementelah beberapa tahun lalu semasa terlibat beberapa siri penganjuran Cub Prix di Melaka, sering juga dibawa kenalan untuk makan Asam Pedas selain Ikan Bakar yang terkenal di Umbai dan Serkam (ujud sebelum Umbai) itu.

Antara tempat Asam Pedas yang sering diperkatakan ialah deretan kedai sebelah Pasar Borong Batu Berendam, Kedai Hajah Mona dan Kedai Asam Pedas Claypot di Jalan Kota Laksamana, kedai apa nama dekat Bukit China, bersebelahan dengan Perigi Hang Li Poh, Kedai Pak Tunggal tepi jalan Teluk Mas dan banyak lagi.

Bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang. Kakak aku rupanya sudah siap terhidang di atas meja makan Asam Pedas Ikan Pari! Tetapi lebih kepada Asam Pedas versi Perak. Bagaimanapun makan bertambah-tambah kami!

Setelah bermalas-malasan dan anak jantan aku seorang itu bertempur beberapa round di alam PS2 dengan sepupu-sepupunya itu, kami keluar rumah jam 4 petang.

Berbekalkan Pisang Goreng Pisang Raja dan Tempe Goreng yang dibeli di Medan Selera Taman Seri Teluk Mas itu kami menuju ke Banda Hilir.

Mulanya aku menyangkakan Ubi Keledek Goreng. Rupa-rupanya Pisang Raja yang dihiris menyerupai kepingan Ubi Keledek.

Seperti biasa, perjalanan pulang akan dicari agar tidak melalui perjalanan ,mendatang. Kami bercadang untuk pulang ke KL melalui Masjid Tanah, PD dan Bagan Lalang.

Semasa melalui Kelebang berhampiran Stesen Minyak Caltex, aku terpandang deretan kereta di susur jalan. Menyangkakan ada kenduri ataupun rumah terbuka, aku memperlahankan kenderaan. Rupa-rupanya mereka semua itu adalah pelanggan sebuah warung yang di hadapannya berlonggokan timbunan buah Kelapa Muda. Beratur orang di dalamnya sampai ke pinggir jalan! Tidak pula diketahui apakan menu geranan warung yang tidak bernama ini. Apa yang pasti kunjungan akan datang, warung ini akan dirisik.

Sekali lagi ketika menghampiri Masjid Tanah, selepas sahaja sebuah selekoh kelihatan deretan kereta di pinggir jalan di kawasan Pokok Kelapa Sawit. Di bawah-bawah teduhan daun-daun Kelapa Sawit ini terbina bebarapa warung dengan pelanggan-pelanggannya sedang menjamu selera. Terdapat sebuah papan tanda tertulis Warung D’Sawit. Ini juga salah satu tempat yang akan kami singgah di kunjungan akan datang. Keadaannya juga saling tak tumpah dengan
Warung Kelapa sawit di Juru.

Kami menuju ke Pengkalan Balak. Cuba mencari Warung Yong Tau Fo yang diceritakan oleh blogger Explorer. Malangnya jalan ke Pantai Pengkalan Balak ini sesak teruk dengan kenderaan yang bertali-arus. Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Linggi.

(Bila sampai di hotel malamnya baru perasan Gerai Mesra Ria Yong Tau Fu ini di Medan Selera Puteri , Pantai Puteri , Tanjung Kling bukannya di Pengkalan Balak. Macamana pula boleh terbayangkan Pengkalan Balak!)

Kami sampai di Bt 4 PD jam 6.30 petang. Ada hajat untuk singgah Pasar Malam Ahad malam Isnin yang terkenal di situ tapi tempat kereta hampir langsung tidak kelihatan menyebabkan kami meneruskan perjalanan.

Cadangnya hendak makan malam di Seaview Seafood Village berdekatan Stesen Janakuasa TNB selepas Pekan PD. Tutup pula hari ini.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Bukit Pelanduk dan seterusnya ke Bagan Lalang. Tiba di Bagan Lalang sekitar jam 8 malam. Tiba-tiba teringatkan Warung Ikan Bakar yang banyak di tepi pantai Bagan Lalang dan Sungai Pelek ini.

Entah mengapa, mungkin kerana kegelapan malam, kami tidak berjumpa langsung kelibat papan-papan tanda warung-warung ikan bakar ini. (Balik hotel baru perasan, tempatnya di Sungai Pelek hanya beberapa km lagi sahaja patut dituju!)

Isteri terus mencadangkan agar kami ke Down Town di KLIA di mana pekan kecil ini menjadi tumpuan kepada pekerja-pekerja penerbangan menjamu selera.

Aku silap arah menuju ke LCCT, sepatutnya menuju ke KLIA! Terus sahaja kami membatalkan hasrat ke Down Town. Aku mencadangkan untuk ke Warung Roti Canai Valentine di Jalan Semarak, KL.

(Ini bukan sempena Hari Valentine! Warung Mamak bersetentangan Bangunan Celcom Jalan Semarak ini memang terkenal dengan Roti Canai Garing dan Ranggup. Maggi Goreng dan Nasi Lemak Ceduknya juga mengancam!)

Kami menggunakan Lebuhraya MEX dari Putrajaya ke KL untuk keluar Jalan Tun Razak. Setibanya di persimpangan Jalan Semarak, Kampung Baru sudah kelihatan Warung Roti Canai Valentine ini yang gelap gelita. Mungkin peniaganya juga menyambut Valentine!

Kami berpatah balik ke Quality Hotel dan singgah ke Restoran Lotus Jalan TAR perkena Maggi Goreng, Ketiaw Goreng, Set Roti Nan dengan Ayam Tandori, Teh Tarik, Teh O Ais dan Susu Lembu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: