Tuesday, November 03, 2009

Roti Kapal cicah Kopi O



Roti Kapal cicah Kopi O

Tiba-tiba aku teringatkan
Mak Long Huduh aku di kampung Batu Kurau.

Teringatkan Kopi-O pekatnya walaupun tidak sesedap Kopi-O Tahi Musang aruah Mak Long Bukit aku.

Teringatkan Roti Kapal Keras yang dicicah (cecah?) dalam kepanasan dan kelikatan Kopi-O itu. Biarkannya meliuk sedikit sebelum disuap ke dalam mulut. Kalau Roti Kapal atau Roti Kepala Lutut memang boleh "main-aci-lok" rendam lama-lama dalam Kopi-O tapi jangan Roti Merry atau Roti Mayat, boleh lembek terus tenggelam! Mahu kena cari sudu nak ceduk balik.

Makan Roti Kapal cicah Kopi-O panas ini pula semasa hujan lebat lepas tengahari atau nak masuk belah petang. Perut masih berkesik dengan nasi. Saja nak bagi hilang rasa mual Kedera Masin atau Pekasam Puyu Goreng Bawang. Ataupun nak kelega sikit kelat lemak jering cambah atau petai muda bakar di lidah. Sebab itulah kena penghirup secawan dua kopi-o.

Kalau belah petang sayup nak masuk Magrib bolehlah percecah Roti Kapal dengan Nyior Parut bergaul garam-gula. Kalau ada lebih Sambal Tumis Petai makan tengahari boleh juga dibuat kawan.

Macamanapun menjamah Roti Kapal cicah Kopi-O sambil kelopak mata mula mengecil merenung titik hujan turun dari hujung zink rumah tengah atau dari sisik atap nipah penjuru dapur memang mengasyikan. Sedar tak sedar tangan terasa bantal. Rupa-rupanya Mak Long Huduh sudah sorong sebiji bantal. Tanpa bertanya, badan terus rebah.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: