Thursday, December 23, 2010

Hari 5 Berlibur di Tianjin-Beijing 11 – 15 Dis 2010








Berlibur di Tianjin-Beijing 11 – 15 Dis 2010 Hari Kelima

Hari 5, 15 Dis 2010

Semalaman malam semalam saya dan isteri tidak dapat melelapkan mata! Jam 11.00 pm selepas berkemas untuk persiapan kembali ke Malaysia kami cuba melelapkan mata tetapi hanya gelisah di atas katil. Sedangkan malam-malam sebelumnya belum jam 10.00 pm kami sudah dibuai mimpi.

Paginya jam 7.30 am semua peserta sudah check-out dan bersedia untuk ke Tianjin. Kali ini kami menggunakan bas persiaran yang lain tetapi dari syarikat yang sama dengan Pemandu Pelancong lelaki yang bernama Andy. Sama seperti Vivian, Andy juga masih berbahasa Indonesia.

































Kami tiba di Tianjin jam 10.00 am dan terus ke Tianjin Ancient Culture Street. Andy membenarkan kami selama 50 minit untuk melawat kawasan jalanan yang direka khas menyerupai gerai-gerai semasa di Dinasti Qing. Malangnya masa 50 minit diperuntukkan itu hanya diguna oleh kami selama 5 minit sahaja! Suhunya terlalu sejuk dan ditambah dengan tiupan angin yang kuat disebabkan kedudukannya berhampiran dengan laut.

Kami terus ke Tianjin Snack Market. Mujur di sini kawasannya tertutup dan membolehkan kami membeli-belah di saat terakhir. Banyak gerai-gerai makanan ringan di sini termasuklah yang dimiliki oleh peniaga Muslim. Di sini juga banyak gerai-gerai cenderahati.

Kami makan tengahari di sebuah restoran Muslim yang bersebelahan Tianjin Snack Market. Menu makan tengahari di sini juga mirip makanan Malaysia termasuklah Tauhu Goreng dengan Kuah Kacang.

Selepas makan kami menuju ke Lapangan Terbang Tianjin. Kesejukan di Tianjin ini begitu ketara sehinggakan pokok-pokok di pinggir jalan terpaksa berbalut untuk melindunginya.

Kami terus check-in kerana tidak tahan kesejukkan. Kapalterbang kami yang sepatutnya terbang jam 3.50 pm terpaksa dilewatkan sehingga jam 4.30 pm disebabkan berlakunya kesesakan di udara Beijing dan Tianjin.

Bagaimanapun masa penerbangan masih dalam 6 jam setelah pilot mendapat kebenaran untuk melalui laluan alternatif yang lebih singkat. Kami mendarat jam 10.50 pm seperti yang dijadualkan.


































Di LCCT, bas Uniutama Travel & Tour telah sedia menunggu dan kami kemudiannya singgah di R&R Rawang untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan. Di sini ada peserta yang tidak sabar-sabar lagi melepaskan “kerinduan” dengan memesan Nasi Campur dan Teh Tarik.

Menjelang subuh peserta-peserta mula sampai di destinasi masing-masing bermula di Sungai Petani dan Jitra sehinggalah kami, (saya isteri dan anak) adalah peserta terakhir turun di dalam kampus UUM.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

No comments: