Thursday, June 12, 2008

Makan apa saja, bayar cuma RM 2

Makan apa saja, bayar cuma RM 2
Oleh Safina Ramli,
Utusan Malaysia, 12-Jun-2008

ALOR STAR 11 Jun – Pada saat kebanyakan peniaga makanan di seluruh negara ghairah menaikkan harga jualan masing-masing ekoran kenaikan harga minyak, pemilik sebuah kedai makan di Kuala Kedah dekat sini masih mengekalkan kadar bayaran RM2 untuk apa juga hidangan termasuk minuman.

Percaya atau tidak, itulah harga yang dikenakan oleh pemilik Kedai Makan RM2, Khalid Ahmad, 41, sejak memulakan perniagaan makanan kira-kira 20 tahun lalu.

Untuk satu hidangan, pelanggan boleh mengambil nasi putih bersama lauk seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran.

Harga RM2 untuk makanan itu juga termasuk minuman tanpa mengira ia sirap bandung, teh ais atau minuman panas.

Paling membanggakan, kedai makan milik Khalid itu yang terletak dekat jeti feri ke pulau peranginan Langkawi masih mampu menawarkan pelbagai pilihan minuman dan lauk-pauk yang menyelerakan.

“Saya tidak mahu mengambil kesempatan atas kenaikan harga barang dengan menaikkan harga makanan kerana mahu mengekalkan pelanggan setia.

“Apatah lagi kebanyakan mereka terdiri daripada nelayan yang berpendapatan rendah termasuk rakan-rakan saya sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid memulakan perniagaannya seawal pukul 6 pagi kerana pada masa itu nelayan mula turun ke laut. Kedai itu hanya ditutup selepas pukul 5 petang.

Katanya, selain nasi dengan beraneka jenis lauk antaranya ayam goreng, kari ikan, udang kunyit dan daging kicap, kedainya turut menjual laksa, bihun sup, mi sup dan kuetiau sup, juga pada harga RM2.

“Ada juga pengunjung yang datang dari luar Kedah seperti dari Kuala Lumpur terkejut ketika mahu membayar harga makanan di sini.

“Mereka mahu membayar lebih kerana tidak percaya dengan harga yang ditawarkan,” ujarnya.

Khalid yang mendapat bekalan bahan mentah ikan dan hasil laut lain daripada nelayan di sini turut membeli barang keperluan dari pasar tani berhampiran.

“Saat paling sibuk ialah pada waktu makan tengah hari apabila pekerja dari pejabat agensi kerajaan berhampiran datang menjamu selera,’’ katanya yang dibantu oleh isteri dan lima pekerja.

Menurut Khalid, selain berniaga di kedai itu beliau juga menerima tempahan makanan dari kilang-kilang berhampiran dan hanya mengenakan caj pengangkutan tambahan sebanyak 50 sen.

Beliau memberitahu, sehingga hari ini beliau belum berfikir untuk menaikkan harga makanan di kedainya kerana merasakan masih mampu meraih keuntungan.
“Makanlah apa sahaja, harganya tetap RM2 untuk seorang pelanggan,” katanya.

No comments: