Wednesday, June 18, 2008

Gula dikerumuni semut-semut


Gula dikerumuni semut-semut

Mungkin itulah yang boleh digambarkan jika ada kedai atau gerai di tepi jalan di mana bersusun-susun kereta di hadapannya.

Sudah menjadi lumrah aku, orang rumah seorang aku dan anak jantan seorang aku itu akan memberhentikan kereta jika ternampak mana-mana kedai atau gerai di tepi jalan di mana bersusun-susun kereta di hadapannya.

Kedai “Bendang Londang Nasi Ikan Bakar” yang terletak 50 km dari Ipoh dan 10 km dari Traffic Light Bota Kanan ini umpamanya, disinggahi kami sekeluarga beberapa tahun lalu (rasanya 2005) semasa dalam perjalanan ke Lumut.

Memandangkan banyak kenderaan (kereta, lori dan juga bas TLDM!) berhenti di hadapan kedai ini, kami juga terasa ingin singgah.

Hidangan yang kami pilih untuk makan tengahari hari itu ialah seekor ikan Keli, seekor ikan Kembung dan sekerat ikan Terbuk dengan kesemuanya dibakar, Seekor Keli Masak Lemak, Seketul Ayam Masak Merah, dua jenis sayur, dua gelas Sirap dan segelas Teh-Cina (Ya! Kedai Melayu ini ada Teh-Cina!). Selepas “cuci calat”, peniaga yang mengiranya menyebut RM 15.00. Terkejut juga aku yang telah bersedia dengan tiga keping duit merah!

Aku menceritakan kedai ini kepada beberapa kenalan yang juga kaki makan (bukan ke mulut makan!). Rupa-rupanya kedai “Bendang Londang Nasi Ikan Bakar” memang terkenal terutama kepada warga TLDM.

Bulan Mac lepas dalam perjalanan ke KL, sengaja aku memilih laluan Taiping, Pantai Remis, Teluk Intan, Kuala Selangor, Kelang untuk ke KL setelah jemu dengan lebuhraya, kami singgah lagi di kedai ini.

Agak terkejut kerana keadaannya lenggang! Setelah menikmati makan tengahari dan beredar dari kedai itu baru aku perasan ada sebuah kedai baru tidak sampai 100 meter dari kedai “Bendang Londang Nasi Ikan Bakar” ini yang penuh sesak dengan pelanggan.

Mungkin lain kali aku akan singgah kedai baru ini.

Mungkin juga gula yang lama itu sudah kehabisan manisnya, maka semut-semutpun mengerumuni gula yang baru!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: