Tuesday, June 17, 2008

Ais krim potong

Ais krim potong

Minggu lepas semasa dalam perjalanan pulang dari KL, entah bagaimana aku tiba-tiba menyuarakan keinginan untuk makan ais krim potong kepada orang rumah.

Aku mengimbas kembali kenangan semasa kecil aku dahulu di Jalan Wat Siam, kepada anak jantan seorang aku tu.

Apek Tua yang mengayuh basikal dengan tong ais krim itu biasanya akan melalui Jalan Wat Siam di sekitar jam 4 petang. Tong ais dengan payung kecil di atas akan dikerumun kanak-kanak termasuklah aku apabila sesampainya di Jalan Wat Siam.

Kami tidak membeli ais krim potong tetapi ‘menikam-nya’ lagi. Kalau dibeli hanya dapat satu. Rasanya 10 sen satu ketika itu. Tetapi dengan ’menikam’ roda pusing ala Roda Impian itu memungkinkan kami mendapat lebih dari satu.

Perjalanan dari KL itu sampai di rumah dengan jam sudah menghampiri 9 malam. Kami bertolak dari KL sekitar jam 5 petang sesudah selesai kerja hujung minggu aku di Bangi.

Orang rumah mengeluhkesah kerana terdapat helaian kertas promosi Tesco di hadapan rumah.

Aku mengambilnya dan terperanjat melihatkan iklan ’ais krim potong’ di muka hadapan. Rasanya ketika itu juga aku hendak berkejar ke Tesco membelinya.

Semalam baru aku sempat membeli ais krim potong ini.

Agak berbeza dengan ais krim potong yang pernah dan kerap aku beli semasa kecil dahulu dari Apek Tua yang berbasikal dan bertong di atas pelantar belakang basikalnya itu.

Rasanya hampir sama dengan perasa jagung kesukaan aku. Cuma dahulu ais krim potong tiada bilah pemegang dan pembalutnya hanyalah sehelai kertas nipis.

Oh, ais krim potong!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

No comments: