Jalan pulang lain dari KL ke Utara
Semalam selepas mesyuarat dan jamuan makan tengahari di UIAM, Gombak jam 3.00 petang, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Taiping untuk tidak menggunakan lebuhraya dan melalui jalan lama Hulu Yam Batang Kali.
Laluan ini merupakan salah satu laluan kegemaran saya semasa "gila motor" tahun 80an dahulu dan juga semasa mengambil kursus master di UKM tahun 2003-2004.
Untuk ke Hulu Yam, Batu Cave adalah landmark yang paling mudah. Dari Batu Cave ini ikut sahaja signboard menghala ke Hulu Yam.
Jangan lupa mengisi petrol sebelum masuk laluan berbukit dan berselekoh selepas Gombak ini. Ada satu Stesen Petronas di sebelah kiri jalan sebelum sampai ke persimpangan Loji Pembersihan Air Sungai Batu. Stesen minyak seterusnya hanya ada di Batang Kali.
Belok kanan menuju ke Hulu Yam di persimpangan Loji Pembersihan Air Sungai Batu ini (dengan landmark Workshop Bas di sebelah kanan dan Workshop Tayar Silverstone di hadapannya).
Mulai sini adalah laluan berbukit dan berselekoh. Ada selekoh tajam yang merbahaya.
Di sebelah kiri laluan adalah tasek buatan dengan beberapa tempat persinggahan disediakan. Selepas tasek ini ada banyak tempat rekreasi (dan juga chalet) di sungai-sungai sebelah kanan laluan. Bagaimanapun cuaca tidak mengizinkan saya untuk mengambil gambar. Cuaca yang terik semasa di Gombak serta-merta bertukar dengan renjisan hujan lebat sebaik sahaja memasuki laluan berbukit ini.
Betul-betul di atas bukit bersempadankan Gombak dan Hulu Selangor terdapat beberapa saluran mata air yang keluar dari bukit. Setiap hari banyak kenderaan yang bersusun di sini dengan pemandunya menunggu giliran untuk mengisi air dari mata bukit ke dalam bekas yang dibawa.
Selepas sempadan ini, laluan akan menurun sehingga ke persimpangan Pekan Hulu Yam. Belok kanan apabila tiba di Pekan Hulu Yam.
Sebelum sampai ke Pekan Batang Kali ada persimpangan (sebelah kanan) ke Genting Highlands.
Selepas Pekan Batang Kali di persimpangan lampu isyarat berhampiran Stesen Bas, anda perlu belok ke kanan untuk ke Kuala Kubu Baru.
Saya singgah sebentar perkena Kopi Panas di Tanjung Malim. Oleh kerana hujan terlalu lebat, saya memasuki lebuhraya di Susur Keluar Behrang.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment