No reservations Part 1 Lenggong & Bukit Bunga
Walaupun perjalanan ini telah dirancang lama tetapi temanya telah beberapa kali berubah-ubah. Asalnya bertema Coast-to-coast iaitu perjalanan dari Pantai-ke-pantai bermula dari Pantai Sri Tujuh Tumpat ke PCB ke Besut ke Penarik ke Cheranting ke Air Papan ke Desaru berpatah balik ke Teluk Kemang, PD dan Morib sebelum ke Teluk Batik dan Pangkor. Malangnya dalam cuti sekolah ini ada 3 jemputan sebagai speaker/trainer untuk conference/seminar/kursus yang tidak dapat aku elakkan. Malah semalam, 14 Jun aku masih di Prai mengendalikan kursus SHO.
Tema kedua iaitu bersantai di pulau cadangnya di Pulau Perhentian juga terpaksa dibatalkan. Akhirnya aku, orang rumah aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu memilih tema “No reservation” untuk percutian kami bermula 15 Jun dan berakhir sebelum Ahad 20 Jun 2010.
Kami akan berperjalanan tanpa destinasi yang ditetapkan, tanpa hotel yang ditempah, tanpa masa untuk dikejar. Pada masa yang sama, elemen pantai dan pulau cuba dimasukkan jika berkesempatan. Tidak mengejar masa untuk ke kelas atau tanggungjawab pegawai perlumbaan di dalam trek atau litar lumba. (Bagaimanapun aku masih dikehendaki memeriksa trek cub prix di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu untuk acara cub prix bulan Julai ini!).
Kami memulakan perjalanan dari Kamunting pagi tadi pada jam 8.30 pagi. Sebenarnya merancang untuk keluar rumah sebelum pukul 7.00 pagi. Malangnya semalam dalam perjalanan awal pagi ke tempat berkursus di Prai, kereta Myvi yang aku pandu terlanggar ketulan besar bunga “retread” tayar lori dan menyebabkan kerosakan agak teruk pada bahagian bumper hadapan. Kenalah tunggu Pusat Servis Perodua Kamunting dibuka pada jam 8.30 pagi hari ini untuk menghantarnya dibaiki.
Kami berhenti bersarapan di Lenggong jam 10.00 pagi. Gerai Roti Canai berhadapan Stesen Shell Pekan Lengggong ini memang terkenal dengan kegebuan Roti Canainya. Kemudian kami berhenti seketika di tandas kawasan rehat selepas Pekan Lenggong.
Sebelum memasuki Lebuhraya Timur Barat di Grik, kami mengisi minyak di Pekan Grik. Ini kerana Stesen Minyak di Banding sudah tidak beroperasi. Stesen minyak seterusnya ialah di Jeli iaitu 120 km dari Grik.
Kami tiba di Bukit Bunga jam 2.00 petang. Berhenti seketika untuk menghilangkan dahaga dan menjamu mata dengan barangan Siam dan tempatan.
Destinasi seterusnya ialah PCB.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com
No comments:
Post a Comment