Monday, March 24, 2008

Rezeki Rimau dan Cuci Calat


(Aku siratkan bahasa orang kita dan dahulu sebelumnya menjadi beku)

Hari ini meja rumah aku penuh dengan tupperware-tupperware Mak Yah-Mak Yah (mak aku nama Mak Yah, Norliah Bt. Hamid dan hendak dijadikan cerita, mak mertua aku juga Mak Yah, Rodiah Bt. Hamad). Betul-betul ”rezeki rimau”.

Mak aku bagi Sambal Tumis Ikan Bilis, Ikan Goreng 3 ekor (selangat, kedera dan kayu), Sayur Tauge, Kucai dan Tahu Goreng Kicap, Sambal Belacan, Ulam Pegaga, Ulam Betik Muda Rebus Dengan Kobis (untuk aku sebab aku tak makan pegaga), Nasi Puteh dan Pencuci Mulut, Betik Masak.

Dari Mak Mentua aku pula, Sambal Tumis Sotong, Udang Goreng Kunyit, Sambal Tahu. Ini kira sedikit kalau tidak mahu lima, enam mata!

Kadang-kadang penuh meja! Kadang-kadang dua, tiga hari kami sekeluarga dengan nasi bungkus sahaja. Aku penah cadangkan kepada orang rumah agar buat jadual supaya tak bertindih dua-dua mak hendak bagi makanan!

Inilah keuntungannya kalau rumah berdekatan dengan mak sendiri dan mak mertua.

Mula-mula dulu sebelum kahwin rimas juga sebab sat-sat kena panggil pergi makan tengah hari atau malam. Selepas setahun aku laki bini buat syor ”tapau” sajalah sebab alasan sibuk nak ambik anaklah, kena balik ofis la dan sebagainya. Semuanya alasan yang boleh direka.

Pernah berkeluh-kesah juga aku laki bini sebab kamilah yang akan dihubungi kalau ada apa-apa ataupun kalau hendak ke mana-mana. Selepas tiga tahun lepas aku mula kerja di Kulim, Ipoh dan kemudiannya di Sintok sekarang ini, orang rumah aku lah yang akan jadi pilot untuk mak mertua dan mak aku kalau ada saudara atau jiran yang sakit mati. Kalau kenduri kendara itu boleh juga tunggu aku di hari minggu. Tapi kalau aku ada kelas ataupun acara motorsport nampaknya tak merasalah mereka nasi kenduri. Tapi kalau dibandingkan dengan dengan hal-hal lain keberuntungannya masih memihak kepada kami.

Semalam orang rumah aku cerita mak aku sudah kias-kias durian sudah berbunga di kebun ”sekangkang kera” di kampung Batu Kurau. Maksudnya itu hendak mengajak orang rumah aku balik mengutip buahlah.

Sebut pasai kutip durian ini, orang rumah selalu komplen kat aku.

”Abang ni kalau masuk hutan bukan sahaja di Taman Negara dan Hutan Belum, sampai ke China dan Tibet pun dah pergi sampai berminggu berbulan. Tapi mak ajak balik kutip durian sekerat hari pun tak mahu!”

Aku bukan tak nak pergi tapi durian ni banyak sangat pantangnya. Bapak aku kencing manis, mak mertua aku darah tinggi. Kalau bawa balik, seulas dua mesti dia orang nak makan.

Hari ini makan tengahari banyak berlebih. Boleh makan sekali lagi berulang sebelah malam. Kadang-kadang ”cuci calat”, tak bersisa langsung. Kalau Ikan Keli Goreng, belah kepala dipepah habis oleh orang rumah, belah tengah dek anak dan belah ekor bahagian aku.

Mak aku pula sentiasa dengan ideologi ”keadilan” nya.

Dia tahu aku tak makan Ulam Pegaga, dia akan rebus Betik Muda. Kalau dia buat Nasi Dagang dengan Gulai Ikan Aya, makanan asasi tok aku di Kelantan, dia mesti masak nasi puteh dengan satu lauk lain sebab dia tahu menantu dia Anak Mami Celup tu tak ”berahi” Nasi Dagang. Sayang menantu perempuan seoranglah katakan.

Anak jantan aku seorang tu berdarah Che Siti Wan Kembang dan juga berdarah ”Anak Mami Kampung Rawa Penang”. Nasi Dagang dia bukan sahaja sapu licin tapi siap minta tambah. Pada masa yang sama Roti Canai Kuah Dalca Banjir dan Nasi Kandar Kari Kuah Lebih pun ”cuci calat”.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

No comments: