Saturday, December 20, 2008

Sahabat lama terima menantu

Sahabat lama terima menantu

Hari ini aku dan anak jantan seorang aku itu memenuhi undangan sms sebelum ini dari seorang sahabat di kilang tayar dahulu untuk meraikan majlis terima menantu sulongnya di Kampung Jana, Kamunting.

Sahabat aku ini kira orang lamalah di kilang tayar itu. Kilang baru naik bumbung dia sudah berkerja. Malah beliaulah yang juga menumpangkan aku setiap pagi ke tempat kerja di tahun pertama aku di sana. Selalunya dengan motosikal dan sekali-sekala kalau cuaca ”biasa” kami naik kereta. Di Taiping ini kalau turunnya hujan dianggap fenomena biasa. Cuaca menjadi luar biasa jika hujan sudah lama tidak membasahi bumi Taiping ini.

Kami sampai belum lagi mencecah pukul 12 tengahari tapi undangan sudah sesak dalam beberapa khemah. Kebetulan aruah orang tua sahabat aku ini tokoh terkenal di Kamunting ini.

Set hidangan terbahagi dua. Set biasa Nasi Minyak dengan Ayam Masak Merah, Daging Masak Hitam, Kurma Daging dan Air Asam. Manakala Set pilihan ialah Nasi Puteh, Gulai Lemak Pisang, Ikan Pekasam, Ikan Masin, Ulam Pegaga dan Timun serta Sambal Kelapa (Sambal Nyior kata orang sini!)

Pencuci Mulut ialah Oren Sunskit dan Pembasuh Mulut pula ialah Air Oren dan Bubur Gandum.

Set cenderahati pula buntil jaring (net) dengan pelbagai kuih tradisional.

Selamat Menerima Menantu buat Sdr. Ahmad Nadzri Hj. Ismail.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: