Tuesday, December 30, 2008

Sudah 12 tahun berkahwin


Sudah 12 tahun berkahwin

12 tahun lalu pada 29 Disember aku secara sah menjadi suami kepada isteri seorang aku itu.

Semalam 29 Disember 2008 tiada apa-apa keraian. Cuma dalam perjalanan balik dari Prai, kami tiga beranak perkena Bawal Goreng Kak Yah Din di Juru lagi. Lebih kepada meratah bawal kerana paginya kami semua ”heavy breakfast” di Sunway Hotel. Kami juga bersarapan bersama-sama Imuda, artis/kartunis itu. Sempat juga aku mengucapkan takziah kepadanya kerana baru kematian bekas isterinya.

Malamnya kami bercadang untuk keluar ke Taiping Sentral. Mungkin sekadar minum-minum dan menonton wayang. Memandangkan cuaca hujan sepanjang petang melarat ke malam, kami membatalkan sahaja hajat tersebut. Kebetulan masing-masing kami sibuk mengemas rumah kerana keesokan hari (hari ini) kontraktor rumah kami (Ah Chai) akan datang membuat sedikit pengubahsuaian dan membaiki bumbung rumah.

Akhirnya kami merancang untuk ke Taiping Sentral malam ini. Tiga tiket untuk kami anak-beranak telah dibeli. Tajuk wayang yang akan ditonton ialah ”Brainscan, Aku dan Topi Ajaib”.

Sebenarnya aku dan anak jantan seorang aku itu ”agak malas” kalau hendak menonton wayang Melayu. Paling akhir filem Melayu yang kami tonton bersama ialah ”Senario The Movie Episode I”. Biasanya aku dan anak jantan seorang aku itu akan menonton filem Inggeris. Manakala orang rumah seorang aku itu akan menonton filem Melayu dengan ditemani oleh adiknya.

Memandangkan ”outing” kami malam ini adalah ”family outing”, aku dan anak jantan aku seorang itu mengalah untuk menonton filem Melayu. Sementelah promosi cerita ”Brainscan, Aku dan Topi Ajaib” ini sedikit banyak memikat hati kami sekeluarga.

Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan yang ke 12, isteri aku. Semoga ikatan yang terjalin antara kita berdua akan berpanjangan sehingga hayat.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: