Sunday, December 21, 2008

Tiada lagi budak pembasuh pinggan kenduri kahwin

Tiada lagi budak pembasuh pinggan kenduri kahwin

Semalam 4 buah rumah kenduri menjemput, 2 pakai kad, 2 lagi pakai sms saja. Aku pergi 2 sahaja. Itu tak termasuk kenduri kahwin Mawi-Ekin! Macamanapun orang rumah seorang aku itu pergi juga kahwin Mawi-Ekin – dia pergi jenguk dalam Astro!

Hari ini 3 kenduri. Aku pergi 1 saja, rumah abang Hanafiah Mamak di Bukit Jana. Aku tahu kalau kenduri abang Hanafiah, mantan tauke kedai makan ini mesti ada Kurma Kambing. Kebetulan kenduri anak bongsu dia, tentu meriah sakan.

Baik kenduri semalam ataupun hari ini semuanya pakai “catering”. Catering dari pelbagai pelusuk. Orang Taiping ada yang panggil catering dari Titi Serong! Malah dari Ipohpun ada. Di Taipingpun cateringnya tidak kurang hebatnya juga. Catering di Simpang umpamanya kerap dipanggil ke kediaman Khir Toyo, mantan MB Selangor dahulu.

Bila pakai catering semuanya dalam pakej. Khemah pun pakej. Bentara pun pakej. Tukang basuh pinggan pun pakej.

Entah mengapa malah sehingga ke hari ini, aku lebih suka jadi ”orang dapur” kalau ada kenduri-kendara ini. Banyak-banyak position, aku paling suka basuh pinggan. Kalau di rumah sendiri, orang rumah aku seorang itu tak bagi aku basuh, sebab bila aku basuh tak cuci katanya! Kalau aku basuh, dia mesti basuh sekali lagi!

Ingat-ingat semasa darjah 5, aku mula bergiat jadi ”budak pembasuh pinggan kenduri kahwin” ini. Dapat sehelai tuala ”Good Morning”, duit seringgit dilipat lawa dan dipinkan ke baju sudah menjadi kebanggaan. Kalau tuan rumah yang bermurah hati itu, adalah sekotak dua rokok yang disua! Ya! Aku mula mengenal rokok semasa bergiat sebagai ”water boy” ini. Tetapi alhamdulillah aku tidak menjadi seorang perokok.

Kami mencuci dari seawal Bentara makan jam 11 pagi hinggalah menyental periuk belanga dan kuali pada lewat petang. Makanan tak terkira banyaknya kami balun. Sisa yang masih elok kami balun. Sisa lauk pengantin (biasalah pengantin malu nak makan) kami balun sepuas-puasnya. Air pula pelbagai. Dari Sirap Bandung campur Kulit Kayu Manis, Bunga Cengkih dan sebagainya. Teh panas pula berteko-teko. Kadang-kadang ada otai yang jamu kopi campur akar pokok pinang. Minum secawan, stim sejam!

Ada juga perkara-perkara yang tak elok aku belajar sebagai ”water boy” ini, terutama semasa bersekolah menengah. Bersama rakan sebaya, Man Cina (sebab matanya yang sepet), kami curi tulang pergi Kampung Jana sebelah Kedai Runcit Salam (bertentangan rumah emak Ahmad Nadzri yang menyambut menantu semalam) membeli segulung-dua ganja! Ya! Memang ganja! Tetapi kami tidaklah ”penganja tegar”, lebih kepada main-main.

(Beberapa bulan lepas aku terserempak dengan Man Cina di Surau Rumah Awam, Jalan Stesen. Hampir aku tak mengenalinya dengan berjubah dan berserban!)

Kini semuanya tiada lagi. Semuanya pakej dan pakej.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: