Thursday, August 06, 2009

Tribute to Kulim Part 2 (Siri 4)





Tribute to Kulim Part 2 (Siri 4)

(Masa aku kerja kilang di Taiping 1990-2003, aku keluar minum dan makan dengan sesama engineer dan supervisor. Masa aku kerja di Kulim Hi-Tech (2004 – 2006) aku keluar makan tengahari dengan technician macam Tok Wan (Rashidi), Saiful, Bashir dan Shukri sebab mereka kerja waktu pejabat. Kadang-kadang tambah satu kereta lagi dengan Fauzan, Pak Ya serta seorang dua tiga lagi technician yang kerja shif pagi.

Tetapi di Kulim kami hanya keluar makan tengahari sebab waktu rehat 10 pagi dan 3 petang terlalu terhad masanya.)

Semalam aku ke Kulim Hi-Tech Park lagi. Ada acara rasmi UUM. Pensyarah dan staf pentadbiran pergi satu bas dengan diketuai oleh Tan Sri VC sendiri. Aku petang Rabu dah bertolak balik dari Sintok ke Kamunting dan pagi semalam baru ke Kulim melalui jalan Bandar Bahru Serdang iaitu jalan yang aku lalui setiap pagi semasa tahun 2004 – 2006 dahulu.

Macam biasa aku bersarapan Roti Canai Banjir di persimpangan Sungai Ular Taman Merak menunggu rombongan UUM yang sampai jam 10.30 pagi. Di sini okey jugalah Roti Canainya tapi yang best ada 2 suratkhabar yang boleh dibaca percuma.

Acara rasmi berakhir 2 petang dengan makan tengahari di Kulim Golf Resort yang kemudiannya ada friendly match golf. Oleh kerana aku tak tahu main golf dan tak layak jadi caddy, aku mengambil keputusan round-round tempat makan favourite dulu-dulu. Nak singgah makan, perut sudah sendat jadi aku cuma ambik gambar kedai dari luar.

Masa makan tengahari di Golf Resort itu menu Kambing Kurmanya masih tak terlawan menu Kambing Kurma Pak Berahim. Sambal Tumis Sotongnya jauh beza dengan Sambal Tumis Warung Nasi Sumatera. Ayam Gorengnya jauh api dari panggang dengan Ayam Goreng Nasi Ayam Periuk Besar.

Lepas makan aku terus terpa ke Restoran Pak Mail. Cadangnya nak beli 4 bungkus Chicken Chop buat makan malam. Satu untuk orang tua aku, satu bungkus untuk mertua dan satu bungkus untuk anak jantan seorang aku itu. Baki satu bungkus lagi share aku dengan orang rumah seorang aku itu.

Alih-alih bila sampai di Jalan Kilang Lama itu terkejut tengok Restoran Pak Mail dah tak ada. Kedainya dah jadi kedai D & H Anggun jual Baju Kurung!

Aku terpa ke belakang Restoran Dinas, Mamak 24 jam di persimpangan jalan ke Sungai Ular (kalau terus menghala ke Pekan Kulim). Di sini juga cawangan Restoran Pak Mail telah tutup. Ke mana pula perginya Pak Mail ini?

Nasib baik tak janji dengan anak lagi!

Di belakang Restoran Dinas ini juga terdapat Warung Kak Ros Selera Kampung. Di sini terkenal dengan Keli Bakar dengan Air Asamnya Cili. Atap zinknya sentiasa sejuk disirami dengan percikan air paip ala-sprinkler.

Patah balik ke simpang UniKL/MSI dan Politeknik itu tempat lepak kami waktu tengahari Jumaat sebelum sholat. Selalunya kami ke Selera Mutiara Junjung, Di sinipun ada pelbagai Ikan Bakar. Kadang-kadang tukar selera ke kedai sebelahnya iaitu Restoran Sila, Oh, Sila.

Selepas simpang traffic light selang satu blok kedai dari JPJ dulunya ada Warung Ikan Bakar Pak Su. Patutlah dari jauh sudah tak nampak replika ikan macam Telapia tergantung depan kedai corner lot ini. Rupa-rupanya sudah bertukar tauke. Sekarang Restoran Seri Gelugor Nasi Ayam Penyet Sumatera. Bolehlah cuba lain kali.















Kalau hari Jumaat, sholat di Masjid Politeknik boleh perkena Cendol Taman Merak. Tapi kalau di masjid, taukenya guna Ais Kiub. Kalau nak perkena dengan Ais Sagat, pergi tapak asal Cendol ini depan Taman Merak, persimpangan Sungai Ular. Dulu jual bawah payung saja, kini sudah ada kemah. Sebelahnya ada kemah jual cucur. Aku perkena Cendol Pulut dengan Cucur Udang campur Tahu Goreng. Sedap juga!

Apa nak beli bawa balik rumah ini? Teringat orang rumah seorang aku itu hantu laksa. (... sambil teringat juga ehem, ehem yang dulupun minat laksa juga!). Minta-minta Laksa tepi Taxi Stand Pekan Kulim itu ada lagi. Taxi Stand ini dekat dengan Pizza Hut dan CIMB.

Sebelahnya kini ada cawangan Restoran Nasi Ayam Periuk Besar. Aku berhasrat nak beli bungkus Nasi Ayam Periuk Besar di cawangan utamanya di Sungai Kob. Jadi aku beli Laksa dan Mee Kuah Ketam Hj. Mohd Tokun ini.

Aku lajak ke Pekan Kulim. Saja lalu depan Masjid Kulim. Warung Nasi Sumatera masih ada seorang dua lagi tengah makan. Di sini terkenal dengan Masak Lemak Perut Kitab, Sambal Tumis Sotong Basah dengan kacang, Kelempung Goreng Berlada dan Bergedil. Kadang-kadang ada Masak Lemak Perut Bulat Sumbat Telur di dalamnya.


Lajak depan lagi Kedai Pokok Manggis. Di sini terkenal dengan masakan ala Thai dan dibuka petang ke malam saja. Biasanya kalau function kilang, kami datang sini lewat petang atau belah malam.






Aku patah balik ke Hi Tech. Saja lalui depan persimpangan Pencawang TNB dengan pejabat Kastam itu. Warung Cahaya Gembira di sini masih ramai dengan peminat Ikan Bakar dan Ayam Bakarnya. Rasanya dulu ini Warung Selera Gemilang atau kami panggil Soros. Tak tahulah pula sama tukar nama atau tukar tauke!

Saja lajak lagi ke Jalan Kangkong Taman-taman yang nama buah dan sayur itu. Dari jauh sudah tak nampak bumbung gerai tolak basikal roda tiga Pak Ibrahim. Rupa-rupanya Pak Ibrahim dah ambil kedai corner lot dengan namanya Nasi Kandar Pokok Ubi. Menariknya kedai Pak Ibrahim yang terkenal dengan Kambing Kurma dan Sayur Tauge Kuning Lembiknya ini ialah signboard kedai hanya kat belakang kedai sebab kedainya membelakangan jalan.

Aku jumpa Pak Ibrahim. Saja tanya Kambing ada lagi tak.

”Hang mai pukul 4. Kambing pukul 2 dan licin!”.

Aku lalui dekat Masjid Jalan Kilang Lama itu. Warung Pak Omar yang terkenal dengan Masak Lemak Telur Itik, Ikan Masin Goreng Cili dan Pecal ini masih ada. Warung Ikan Bakar sebelahnya sudah bertukar jadi Warung Nasi Dalca.









Aku lalu depan kilang First Solar. Sebenarnya aku pernah pi interview jadi Manager di sini. Dapat offer tapi kurang menarik! Warung Bawah Pokok Kelapa Sawit di Padang Cina depan First Solar ini sudah kerusi naik meja. Sini boleh dikategorikan Nasi Ekonomi.

Aku terus ke Sungai Kob. Dari jauh sudah tak kelihatan deretan kereta depan Warung Nasi Ayam Periuk Besar betul-betul tepi sungai ini. Cuma macam biasa lepas pukul 2 petang ada signboard kuning atas kerusi depan warungnya.

Asalnya dikenali Nasi Ayam Periuk Besar Karangan. Tapak asalnya betul-betul tengah pekan kecil Karangan. Di Karangan inilah Dato’ Razak Dawood, Pengurus PERT (Karamjit) sering belanja aku makan bila ada rally di Estet Sungai Dingin. Sekarang di tapak itu ada kemah Fama jual apapun aku tak tahu.

Melepaslah nak beli bungkus! Nak patah balik ke Pekan Kulim malas rasanya. Tapi ramai yang beritahu aku taste Nasi Ayam Periuk Besar ini berbeza sikit di cawangan utama jika dibandingkan tempat lain. Di Taipingpun cawangannya sudah lama tutup. Di Ipohpun malap saja pelanggannya. Tak tahu pula di tempat lain.

Aku malas nak patah ke Pekan Kulim sebab nak balik ikut Mahang.

Selepas Pusat Serenti itu ada simpang tiga, kalau belok kiri boleh ke Sungai Petani. Lupa pula nama tempatnya. Kalau terus boleh ke Sedim dan terus lagi ke Mahang melalui Estet Sungai Dingin.





Di kepala simpang ini kami selalu makan di Warung Ismayatie. Ada Ikan Bakar, Pekasam dan Kerang Rebus. Kalau malas makan Nasi Campur di sinipun ada Nasi Ayam dan Cucur Udang.

Biasanya lepas makan kami beli bawa bungkus balik kilang Pulut Udang atau Kuih Sekupang selang 100 meter dari warung ini.

Hari ini aku terlajak tengok warung kecil belah kanan aku ini. Mungkin sudah pukul 5 petang Pulut Udangnya tidak lagi menimbun tingginya. Pulut Udang Cik Husin dijual 1,000 biji sehari! Kalau disusun dekat 2 kaki tingginya! Berhadapannya ada warung kecil yang jual kuih sekupang.

Aku terus ke Estet Sungai Dingin. Sampai simpang Mahang aku belok ke kanan ke Selama dan terus ke Kubu Gajah.









Ingatkan boleh beli bungkus Mee Rebus Restoran Ain Mee Rebus tapi sudah habis yang tinggal Laksa dan Beehon Sup sahaja. Dulu Restoran Ain Mee Rebus ini cuma di deretan kedai lama berdekatan simpang empat Kubu Gajah ini.

Di simpang ini aku terus ke Pondok Tanjung. Lama sudah aku tak lalui jalan ini. Khabanya sudah elok sangat. Kalau belok kanan ke Bagan Serai boleh balik ke Taiping ikut Bukit Merah terus ke Highway Tol Semanggol. Terus lagi jumpa Simpang Empat Bagan Serai boleh ikut jalan lama ke Taiping.

Jalan Pondok Tanjung ini sudah dibesarkan dan diluruskan. Tak jumpa dah laluan belah bukit. Pak aku pernah cerita kawan-kawan dia dulu kerja belah bukit untuk buat Jalan Pondok Tanjung ini pakai cangkul saja.

Tapi monyet dan beruk masih lagi banyak. Pantang slow atau berhenti kereta pakat kerumun minta makanan! Menariknya lagi monyet dan beruk ini berbaris di sepanjang-panjang jalan yang lurus itu macam mengalu-alukan VIP lalu saja! Nasib baik tak pegang bendera!

Di Pondok Tanjung sempat aku berhenti ambil gambar jambatan keretapinya itu.

Dari Pondok Tanjung aku lalui Batu 4 dan Kamunting sebelum sampai rumah.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Klik di sini untuk Tribute to Kulim (Siri 1, 2 & 3)

No comments: