Wednesday, August 05, 2009

Jom keluar Minum 4, tribute to Taiping 70s




Jom Keluar Minum 4, tribute to Taiping 70s

(Posting ini tidak ada kena-mengena semasa aku bekerja di Taiping (1989 – 2004), ianya berlaku penghujung 70an di mana ketika itu aku bersekolah Darjah 5 dan 6.)

Ketika ini aku sudah dapat “lesen besar” pergi ke Bandar Taiping tanpa ditemani keluarga. Entah mengapa aku lebih suka pergi seorang diri. Boleh dikira kalau pergi secara berkumpulan.

Semasa Darjah 5 aku ke Bandar dengan menaiki bas. Apabila di Darjah 6 aku mula berbasikal mengayuh sejauh 7 km dari Kamunting ke Bandar Taiping.

Ketika itu tambang bas hanya 15 sen sehala. Biasanya aku bawa Cuma RM 2.00. Tambang pergi-balik 30 sen, wayang 60 sen, Pasembur Kadir sekitar 50 sen, Popiah 30 sen (2 ketul), Air Kelapa 30 sen.

Wayang biasanya di Panggung Sun bersebelah Klinik Ibu dan Anak. Panggungnya berdindingkan papan dan mempunyai banyak tiang (batang pokok) di dalamnya. Silap-silap haribulan dapat kerusi betul-betul belakang tiang.

Aku berkenalan dengan Ako Jaga Pintu Panggung Wayang Sun. Orang panggilnya Cina Taik Pek Ho. Ingatkan nama betul rupanya Taik Pek Ho itu maknanya ”kaki ganja” (betulkah?)

Aku belajar ”body language” dari Ako ini. Kalau dia geleng kepala, aku kena beli tiket. Kalau dia angguk, aku tak payah beli tiket tapi bayar saja 30 sen kepadanya!

Rupanya ”body language” yang sama digunakan juga oleh Ane Misai Jaga Pintu Panggung Lido dan Ane Badan Sengget di Panggung Cathay!

(Entah mengapa, salah satu cita-cita awal aku dahulu ialah hendak bekerja sebagai Penyuluh Tempat Duduk Panggung Wayang. Mungkin kerana boleh tengok wayang free tetapi aku tak mahu jadi Jaga Pintu, mungkin juga kerana aku takut buat kerja salah ambil duit tanpa tiket itu!)

Aku biasanya masuk panggung seawal mungkin. Sebab utamanya aku tak mahu bertembung gerombolan rakan sekolah. Walaupun aku tiada masalah dengan mereka di sekolah tapi entah mengapa aku lebih suka bersendirian kalau menonton wayang!

Lepas menonton aku akan ke Hawker Center di bawah Supermarket Larut Matang. Sebenarnya bila disebut Hawker Center, ianya merujuk ke bahagian makanan Cina. Bahagian Melayu tidak ada nama khusus. Depan Supermarket Larut Matang ini ialah Supermarket Taiping Jaya. Sebelahnya Kilnik Ibu dan Anak yang sebelahnya lagi ialah Panggung Sun. Bersebelahan Panggung Sun ialah Gereja dan sebelahnya lagi ialah Supermarket Kartoon.

Sebenarnya Supermarket Karton ini bersempena jualan borong (carton) ala-ala Hypernarket Macro ketika ini. Namanya yang unik juga menjadi lelucuan ramai ketika itu.

Di Hawker Center ini sebenarnya terkenal dengan Ais Kacang dan Lai Chi Kang yang ada Telur Puyuh. Gerai-gerai ini teletak betul-betul di bawah tangga Supermarket Larut Matang bersebelahan Taxi Stand. Lupa pula aku nyatakan, sebelah (atau belakang) Supermarket Larut Matang ketika itu ialah Stesen Bas Taiping.

Bagaimanapun aku tidak gemar ke Gerai Ais Kacang ini kerana beberapa sebab. Mungkin sebab yang utama semangkuk Ais Kacang berharga 50 sen bersamaan harga sepinggan Pasember Sotong Kadir. Lebih baik aku makan yang mengenyangkan! Sebab yang lain di sini tempat lepaknya remaja-remaja sekolah menengah menghisap rokok. Ada yang mengenali aku dan aku risau sekiranya bapa terserempak atau ada yang memaklumkan kepada bapa aku berpelesiran dengan mereka ini. Cuma kadang-kala keinginan ke sana lebih untuk mendengar lagu dari Juke Box yang masih menggunakan LP ketika itu.

(Aku lebih suka order ”white” di sini. White ialah Ais Jagung dengan Gula Putih dan ditambah Kacang Goreng. Ada juga ”Black” dengan Gula Merah atau Hitam.)











Rutin aku sama sahaja, Wayang, Pasembur Sotong Kadir, Popiah, dan Ais Kelapa. Hinggalah ke hari ini. Cuma yang membezanya kini tiada lagi Sun, tiada lagi Lido atau Cathay. Popiah pula sudah tiada lagi Mamak Nana (gerai paling tepi berhadapan Satay Basri) yang balik ke India, sakit dan meninggal di kampung halamannya. Selain Mamak Nana, ada beberapa gerai Popiah lain tetapi tidak memenuhi cita-rasa aku. Hinggalah Suhaimi (anak Peniaga Nasi Padang tepi sekali depan Mee Combat) menjual Popiah atas nama Ella Popiah Gerai 25,

Nasi Padang warisan keluarga ini masih ada. Kadang-kadang aku singgah beli Masak Lemak Perut Berisi Telur. Biasanya menu kesukaan aku (dan juga orangtua) ini aku beli pada bulan puasa.

Setakat ini Popiah Suhaimi ini memang tandingannya. Sebenarnya di Taiping ini terkenal dengan Popiah Tai Chen. Asalnya di Jalan Pasar di Restoran Tai Chen selang dua blok dari Jam Besar. Kemudian pindah ke Food Court Prima dekat Lido. Khabarnya ada adik beradik tauke Popiah Tai Chen ini buka cawangan di BB Plaza Bukit Bintang.

Aku tak pernah makan tapi aku tahu ada seorang Manager Castrol itu mesti singgah Taiping cari popiah ini kalau di ulang-alik Penang-KL.




Pasembur Sotong Kadir masih seperti dulu. Cuma harganya kini sekitar RM 3.00 sepinggan. Malah Kadir telah mengembangkan bisnes dengan membuka cawangan di Food Court Tesco Taiping. Bagaimanapun agak sukar berjumpa Kadir sekarang ini. Dia sibuk dengan bisnes jam-jam antiknya. Kalau nak jumpa dia pergilah Rope Walk Penang hari Sabtu atau Rope Walk Ipoh hari Ahad. Hanya anaknya yang pernah menjalani pratikal di kilang aku dulu menjaga gerai ini.

Jadi dengan RM 2.00 memang cukup-cukup untuk tambang pergi-balik 30 sen, wayang 60 sen, Pasembur Kadir sekitar 50 sen, Popiah 30 sen (2 ketul), Air Kelapa 30 sen. Sekali itu waktu nak balik tercicir 15 sen. Alamatnya menapaklah aku 7 km balik rumah.

Kadang-kadang boleh bawa balik 30 sen lagi! Itupun kalau Ako Taik Pek Ho Jaga Pintu Panggung tak geleng kepala!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

4 comments:

theriderinblack said...

Memang syok giler bila mengenangkan zaman 70an di Taiping. Aku tinggal di berek tentera Salerno Line. Bila cuti sekolah aja, apa lagi, aktiviti pertama ialah tangkap ikan! Phehh, seronok tak terkata. Tapi bila bawak balik ikan keli dan haruan sampai dua baldi penuh, mak aku punyalah mengamuk sakan sebab dia tak makan ikan darat, mungkin kerana dah terlalu jemu makan ikan darat semasa kecil. Last sekali kerana nak mengelak daripada aktiviti karut, maka aku banyak habiskan masa mandi di Bukit Jana atau Burmese Pool. Selesai aje, mandi tap tup tap terus ke food court stesyen bas lama, Taiping(Tapak Supermarket Larut Matang sekarang)Memang kelaslah makanan di situ. Aku paling suka mee goreng mamak sebab mee goreng mamak yang asli ada dimasukkan kentang dan cucur udang. Bukan macam mee goreng mamak di Lembah Klang sekarang ni. Setelah stesyen bas lama berpindah ke tapak sekarang dan supermarket Larut Matang dibina, food court sekarang ini menjadi pilihanku. Arwah ayah aku sering bawa anak-anak minum cendol dan makan mee goreng di situ.Penuh nostalgia. Dan satu lagi yang tidak boleh dilupakan, era 70an dahulu, padang esplanade Taiping yang berhadapan dengan kem 3 Renjer dahulu menjadi kunjungan ratusan orang setiap petang untuk menyaksikan liga bolasepak daerah. Yang seronoknya, ayah aku kerap membawa kami adik beradik ke sana dan sudah tentulah aktiviti paling aku suka ialah makan rojak sotong yang dijual oleh seorang peniaga Cina yang menggunakan kereta sorong...ah...Taiping bumi penuh nostalgia...

lukmanw@gmail.com said...

Salerno Line 70an? Saya tinggal di sana pada tahun 1972 (umur 6 tahun)

theriderinblack said...

Salam.
Mungkin saya kenal keluarga saudara kerana saya memang lama tinggal di sana sejak 1967(kalau tak salah). Orang saya 450422 Abdul Wahid, dan terakhir rumah saya ialah di 6606, Bilik 4, Salerno Circle(Kemudian ditukar kepada Salerno Line).Keluarga saya bertukar dari sana ke Batu 4 Kemunting pada 1977 sebelum orang tua saya pencen pada 1978.

lukmanw@gmail.com said...

Insya Allah saya tanya org tua saya nanti. Rumah saya betul-betul dekat titi berhadapan jalan ke bukit tokong depan berek Sakerno Line itu.