Tiada lagi dingin embun dinihari
Hari ini sekali lagi dalam bulan ini aku keluar rumah di Kamunting seawal pagi untuk ke pejabat di Sintok dan petangnya kelak akan kembali untuk makan malam bersama keluarga.
Biasanya kalau berkereta di awal pagi aku akan membiarkan cermin tingkap di sebelah pemandu terbuka seluasnya. Biasanya juga aku akan mencium bau kitaran sawah di kiri kanan perjalanan terutamanya selepas solat subuh di Gurun.
Kitarannya bermula dengan bau lecak tanah. Lembab dan masam. Kitaran ini akan bersambung masa dengan bau baja ditabur pada benih. Baunya kelak bertukar ke kersik anak padi.
Bila berganjak dari tapak semaian, bau baja bersilih ganti. Bila sudah menjulur hingga pucuk mengamit langit bau baja mula menghilang. Bila padi mula menunduk mula terbau keemasan buah.
Bila sudah dituai dan jerami ditimbun mula terbau asap api. Biasanya bau ini hanya di waktu beralih sang suria di atas kepala.
Kitaran ini lengkap bila bau lecak tanah yang lembab dan masam meruap kembali.
Selain deria bau berkelana, kulit muka juga bertampan dengan deruan angin.
Tetapi dinihari tadi cuma deria bau berlalu dibawa angin. Butiran embun dinihari masih menitik tapi dinginnya entah ke mana. Sang suria masih terkelam di langit hitam tapi bahangnya meruap ke seluruh badan.
Murkakah sang suria? Beradunya pun masih meluahkan bahang.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment