Ban Pecah, Perut Sendat
Kata pepatah, Jong Pecah, Yu Kenyang! Macamana pula kalau Ban Pecah, adakah Perut Sendat?.
Antara kegemaran aku ialah menghayati panorama matahari jatuh. Banyak tempat di tepi laut yang pernah aku kunjungi semata-mata untuk menyaksikan sang suria ini melabuhkan dirinya di horizon lautan yang tak bertepi.
Antara tempat kegemaran aku ialah Pantai Segari berhampiran Pantai Remis di mana di sini jugalah tempat melihat Anak Bulan Ramadhan dan Syawal.
Petang tadi aku, orang rumah aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu ke Ban Pecah. Kalau di Pantai Segari panorama mengasyikkan waktu senja ini hanya berkongsi dengan unggas-unggas, di Ban Pecah ia umpama pesta!
Selain menyaksikan panorama matahari jatuh, kami turut menjamu selera terutama kami hanya bersarapan berat dan belum menikmati makan tengahari.
Macamana hendak ke Ban Pecah ini?
Kalau dari Taiping anda boleh ke sana melalui Persimpangan Selising atau Simpang Ampat Semanggol. Aku cadangkan ikut Simpang Ampat Semanggol lagi mudah. Laluannya terus sahaja sampai ke Jambatan Kuala Kurau. Dari jambatan ini, lebih kurang 5 km., di Kampung Sungai Burung, anda akan berjumpa satu simpang belok ke kiri dengan laluan kecil menuju ke Ban Pecah.
Laluan kecil ini akan berpecah di persimpangan Y. Kalau ikut kiri anda akan melalui laluan lagi sempit pinggir pantai sebelum sampai ke Medan Selera Ban Pecah. Kalau belok kanan di persimpangan Y ini akan terus ke Medan Selera Ban Pecah.
Di medan ini, tempat letak keretanya amat terhad. Disyorkan letak kereta anda sebelum Pintu Air dan berjalan kaki ke kawasan medan.
Kalau datang dari Utara / Bukit Mertajam - boleh belok kanan ikut persimpangan Parit Buntar ataupun Bagan Serai. Terus menuju ke Pekan Kuala Kurau.
Tempat ini menjadi tumpuan penduduk tempatan dan luar kerana senarionya mengasyikan dan lokasi untuk memancing serta juga harga makanannya masih berpatutan.
Antara menu yang kami cuba petang tadi ialah;
1. Nasi Ikan Sembilan (harga ikan ikut saiz) RM 3.50
2. Mee Rebus Udang (4 ekor) RM 4.00
3. Char Ketiaw Udang (3 ekor) dan Kerang RM 3.00
4. Satay Ayam / Daging @ RM 0.40
5. Roti Canai Kuah Dal Campur Sadirn @ RM 0.80
6. Kerang Rebus Cicah Kuah Kacang RM 2.00
7. Burger Special Ayam Balut Telur RM 2.70
8. Rojak Buah Pak Su RM 1.00
9. Teh Tarik, Teh Ais dan Teh O Ais
Jangan terkejut tiba-tiba Pak Su penjual Rojak Buah ini tiba-tiba mengeluarkan Wisel dan Loud Hailernya serta membuat pengumuman dalam dialek Kelantannya. Terkejut kami ingatkan kecemasan umpama Amaran Tsunami.
“Sila ambil perhatian semua. Pak Suk nak buat pengumuman . Rojak Pak Su tinggal sedikit sahaja. Kalau beli 1, Pak Su bagi 1. Kalau beli 2, Pak Su bagi 2. Kalau beli 3, Pak Su bagi 3. Kalau tak beli apa-apa, Pak Su tak bagi apa-apa!”
Pilihan kami – Nasi Ikan Sembilan dan Mee Rebus Udang serta Rojak Pak Su memang sedap! Roti Canai cicah Kuah Dal campur Sadirn itu juga menyelerakan.
Manakala Char Ketiaw, Burger dan Satay biasa-biasa sahaja.
Kami difahamkan sekitar tengahari, gerai-gerai ini telah memulakan jualan masing-masing dan berakhir hingga lewat tengah malam.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment