Sejarah perlu tepat dan tetap
Agak terkejut apabila membaca liputan dalam Kosmo 13 April 2010 dengan tajuk Ikon Pulau Mutiara berusia 25 tahun.
Dalam satu perenggannya tertulis;
"Pasti ramai yang tahu sejarah pembinaan jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia itu. Ia bermula daripada idea mantan Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, Tun Dr. Lim Chong Eu.
Semasa mentadbir Pulau Pinang dari tahun 1969 hingga 1990, Chong Eu masih menyimpan hasrat untuk mengekspresikan ideanya sehinggalah pada tahun 1985, impiannya menjadi kenyataan."
Dalam perenggan yang lain pula tertulis;
"Dari perspektif sejarah, idea pembinaan jambatan diilhamkan oleh Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan beliau juga bertanggungjawab membuat perlaksanaan awal projek tersebut pada awal tahun 1970-an."
Ada pula perenggan lain yang tertulis;
"Pembinaannya dirancang semasa penadbiran Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn lewat tahun 1970-an."
Manakala kaitannya dengan Tun Dr. Mahathir pula tertulis seperti berikut;
"Pada tahun 1982, Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasminya menanam cerucuk pertama Jambatan Pulau Pinang bagi menandakan bermulanya pembinaan projek bersejarah itu.
Pada 3 Ogos 1986, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Jambatan Pulau Pinang dengan menaiki Proton Saga berwarna merah."
Semoga selepas ini fakta yang telah dilaporkan oleh Kosmo ini tidak akan berubah kerana sebelum ini ada yang mengaitkan beberapa mercu tanda Malaysia ini adalah idea Tun Dr. Mahathir seperti Putrajaya, KLCC, Proton dan juga Jambatan Pulau Pinang itu juga.
Posting ini bukannya berniat untuk menafikan sumbangan Tun Dr. Mahathir yang sememangnya tiada galang-gantinya tetapi sejarah perlu tepat dan tetap faktanya.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
Rencana penuh.
Ikon Pulau Mutiara berusia 25 tahun
Kosmo, 13 April 2010
SEBELUM ada jambatan, dalam sebulan mungkin sekali sahaja kami pergi ke Seberang (Tanah Besar). Itu pun kalau ada perkara penting yang perlu diselesaikan.
"Pada masa itu, kalau hendak naik feri kami terpaksa tunggu lebih dua jam disebabkan terlalu sesak manakala perjalanannya pula memakan masa kira-kira satu jam."
Cerita Mohd. Don Alfian Yacob, 51, itu cukup untuk menggambarkan betapa sukarnya perhubungan penduduk Pulau Pinang sebelum jambatan yang menghubungkan pulau dan tanah besar wujud.
Seperti generasi seusianya, untuk berulang-alik dari dan ke seberang pada hari yang sama adalah sesuatu yang memeritkan.
Malah, katanya, pernah suatu ketika dia terlihat seorang penduduk yang terlepas menaiki feri meminta bantuan daripada seorang nelayan untuk menghantarnya ke pulau disebabkan kesuntukan masa menaiki kapal terbang.
Disebabkan hanya terdapat satu jalan perhubungan, ramai yang mengeluh mengenai kelemahan kemudahan perhubungan jalan air itu yang diperkenalkan sejak era 1950-an.
Mengakui perkara itu, Rahman Husin, 57, pula memberitahu, sebelum Jambatan Pulau Pinang dibina, perhubungan di antara penduduk di tanah pulau atau Tanjong seolah-olah ada kekangan.
Malah, ramai yang menetap di tanah seberang (Perai) tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau.
Majoriti daripada mereka beranggapan kedua-dua kawasan itu merupakan dua daerah berbeza disebabkan kedudukan peta yang berasingan.
"Sebaik sahaja jambatan didirikan, ia mula menunjukkan lokasi sebenar kedudukan Pulau Pinang yang menghubungkan di antara tanah besar dan pulau," ujarnya yang telah menetap lebih tiga dekad di Pulau Pinang.
Walaupun pembinaan jambatan tersebut terpaksa mengorbankan beberapa perkampungan nelayan, tetapi kata Rahman, itulah pengorbanan besar rakyat demi kesenangan generasi masa hadapan.
Pasti ramai yang tahu sejarah pembinaan jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia itu. Ia bermula daripada idea mantan Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, Tun Dr. Lim Chong Eu.
Cetusan itu dilahirkan setelah beliau berpendapat sebuah jambatan perlu didirikan bagi menghubungkan Pulau Pinang dan Butterworth di tanah besar sekitar tahun 1950-an.
Inspirasi
Hasrat tersebut dibantah oleh banyak pihak dengan alasan projek mega seumpama itu tidak mungkin dilaksanakan atas alasan belum ada mana-mana pihak mampu mendirikannya di negara ini.
Semasa mentadbir Pulau Pinang dari tahun 1969 hingga 1990, Chong Eu masih menyimpan hasrat untuk mengekspresikan ideanya sehinggalah pada tahun 1985, impiannya menjadi kenyataan.
Pada 13 April 1985, sebuah jambatan sepanjang 13.5 kilometer (km) dengan empat menara di bahagian tengahnya yang terletak 33 meter dari paras laut siap dibina.
Kerja-kerja pembinaannya hanya mengambil masa selama empat tahun dengan peruntukan sebanyak RM850 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
lham seni rekaan jambatan tersebut datangnya daripada anak tempatan yang merupakan seorang pakar dalam bidang kejuruteraan geoteknikal dan merupakan bekas Pemangku Naib Canselor Universiti Malaya (UM) pada tahun 1960-an.
Berasal dari Nibong Tebal, mendiang Profesor Tan Sri Ir. Chin Fung Kee berjaya meluahkan ilham inovatifnya dengan menggunakan rekaan seismik bagi menghalang binaan jambatan daripada runtuh apabila berlaku gempa bumi.
Reka bentuk jambatan tersebut dilakukan dengan menggunakan kaedah gelegar konkrit. Kaedah itu menggunakan kabel penahan seperti yang terdapat pada jambatan Golden Gate Bridge di San Fransisco, Amerika Syarikat (AS) dan bukannya kaedah tambatan keluli yang digunakan dalam pembinaan Sydney Harbour Bridge.
Dari segi fakta kejuruteraan, cerucuk yang digunakan bagi membina jambatan tersebut adalah sepanjang 648 km yang bersamaan jarak dari Butterworth ke Johor Bahru.
Uniknya, jambatan tersebut mampu menahan kesan gempa bumi sehingga berukuran 7.5 skala Richter manakala keseluruhan jambatan tersebut panjangnya 13.5 km, dengan 8.4 km daripada jambatan berada di atas paras laut.
Sumbangan
Sejak dibuka secara rasmi pada 14 September 1985, jambatan di bawah pengurusan Penang Bridge Sdn. Bhd. (PPSB) itu telah menjadi laluan lebih berjuta-juta kenderaan dan penumpang.
Menurut Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Pemasaran PPSB, Suriani Mansor, sepanjang 25 tahun perlaksanaannya, jambatan tersebut memberi sumbangan besar terhadap sektor pelancongan dan pembangunan di Pulau Mutiara.
Katanya, tumpuan pelancong lebih di bahagian pulau kerana terdapat pelbagai destinasi menarik
.
"Serentak itu, dengan pembukaan lorong ketiga jambatan ini pada 0gos tahun lalu, jambatan tersebut mampu menampung sebanyak 155,000 kenderaan setiap hari berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 120,000.
"Laluan baru ini dibina bagi mempercepatkan tempoh perjalanan terutama pada waktu kemuncak yang mengambil masa selama 18 minit kepada 11 minit," katanya berbanding waktu biasa tempoh perjalanan selama sembilan minit.
Selain itu, keluasan jambatan tersebut ditingkatkan daripada dua arah kepada tiga arah bagi kedua-dua perjalanan. Ia diperluaskan selebar 4.8 meter dan satu lorong motosikal selebar dua meter dibina bagi kedua-dua arah.
Dalam pada itu, katanya, sehingga tahun ini, motosikal merupakan pengangkutan utama yang menggunakan kemudahan tersebut dengan anggaran kira-kira 30,000 buah setiap hari.
"Dengan adanya jambatan ini, ia memberi kemudahan kepada penduduk termasuk orang luar yang datang ke negeri ini.
"Malah, ia turut digelar sebagai ikon Pulau Pinang kerana menjadi hos acara Larian Jambatan Pulau Pinang setiap tahun," tambahnya.
Fakta
PPSB bertanggungjawab mengurus, mengendalikan, menaiktaraf dan mengutip pembayaran tol sejak 15 Ogos 1994 hingga 31 Mei 2018.
Dari perspektif sejarah, idea pembinaan jambatan diilhamkan oleh Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan beliau juga bertanggungjawab membuat perlaksanaan awal projek tersebut pada awal tahun 1970-an.
Pembinaannya dirancang semasa penadbiran Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn lewat tahun 1970-an.
Pada tahun 1982, Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasminya menanam cerucuk pertama Jambatan Pulau Pinang bagi menandakan bermulanya pembinaan projek bersejarah itu.
Pada 3 Ogos 1986, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Jambatan Pulau Pinang dengan menaiki Proton Saga berwarna merah.
No comments:
Post a Comment