Thursday, March 20, 2008

Kuah Mau Lebih


Seperti biasa, menu pagi cuti tak ke mana di rumah aku hari ini ialah;

3 keping Roti Canai Garing Warung Basir Medan Kamunting
Kuah Parpu Lebih (kena kaut semua kentang, kacang panjang, karot, terung)
Sambal Tumis (mesti banyak ikan bilis)
1 keping Tose Tak Mahu Garing

Roti Canai, anak aku boleh makan 2 keping sekali hadap. Betul-betul macam Tok Wan dia (bapa aku) walaupun doktor dah pesan; nak makan apa pun boleh tapi tak boleh banyak!

Aku kongsi sebelah keping Roti Canai dengan orang rumah. Tose pun kerat dua tapi jadi masalah pula sebab aku suka Tose Garing, orang rumah lak suka Tose Tak Garing, hanya yang puteh melepak!

Kuah mesti lebih sebab itu biasanya aku ceduk sendiri macam self-service. Kalau tidak, mesti tak cukup.

Teringat member aku Amir Zaki, dulu IE Engineer di kilang tayar. La ni jadi tauke company NDT sub kontraktor kat syarikat minyak. Kalau perkena Roti Canai, dia mesti sound kat budak yang hantar kuah.

”Apasai sikit?, Kuah campur air pun kedekut tak bubuh banyak!”

Kalau tauke Beehun Sup Stesen Keretapi Taiping (gerai tepi sekali belah malam) mesti tahu citarasa aku.

”Kuah Sup lebih macam biasa?” Tanya dia kalau aku beli Beehun Sup atau Nasi Ayam

”Mesti lebih! Hari itu beli, Beehun pun tak tengelam!”, balas aku.

Tauke Beehun Sup yang pakai Serena baru ini sudah buka cawangan siang di Kamunting. Restorannya dekat Yawata, Kamunting (sudah tutup) sebaris dengan Kedai Motor Adik Beradik Sham Wallat, yang kini tengah top di Malaysia sebagai pelumba cubchai.

Balik pasai Roti Canai, mak aku dan orang rumah akulah orang yang paling seronok bila dengar mamak-mamak restoran hendak mogok buat Roti Canai tak berapa lama dulu. Tak payahlah beli hari-hari! Tapi tak jadi juga mogok itu.

Kejab tadi aku saja telefon mak aku.

”Pak macamana hari ini, mak?”

”Macam tu lah, nasi tak berapa lalu tapi Roti Canai pagi tadi boleh pi dua keping!”

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Caption photo;
1. Pinggan aku; sebelah keping Roti Canai, sebelah keping Tose.
2. Pinggan anak aku, 2 keping Roti Canai
3. Pinggan orang rumah aku
4. Kuah Parpu Dal lebih
5. Sambal Tumis mesti ikan bilis lebih
6. Milo anak aku
7. Sudu besi kegemaran aku (shape hujungnya senang ceduk!)

No comments: