Thursday, February 12, 2009

Hotel Kualiti KL pilihan kami sekeluarga


Hotel Kualiti KL pilihan kami sekeluarga

Semenjak 10 tahun yang lepas biasanya aku kalau ke KL akan menginap di Hotel Vistana bersebelahan Stesen Bas ke Genting itu. Kami sekeluarga pernah menginap berterusan lebih hampir sebulan di sini apabila aku terlibat dengan suatu aktiviti motorsport di Sepang. Kalau dua, tiga minggu itu memang biasalah seperti ketika menghadiri kursus walaupun tempat berkursus nun jauh di Bangi.

Tetapi kini kami memilih Hotel Kualiti. Kedudukannya di tengah bandaraya dan bersebelahan beberapa pusat membelah-beli dan Pasar Malam sebelah Jalan TAR itu menyebabkan kami sekeluarga memilih Hotel Kualiti sebagai tempat penginapan kami di hujung minggu apabila aku mengajar sama ada di UUM Kampus KL di Jalan Raja Laut / Chow Kit ataupun di NIOSH. Bangi.

Selain dari segi logistik, aku sebenarnya terpikat dengan sarapan di Restoran Benteng di Hotel Kualiti ini. Buffet sarapannya bukan sahaja gabungan American dan Malaysian Breakfast tetapi setiap hari terselit satu atau dua masakan tradisional.

Sabtu lepas, biji jagung rebus disecah kelapa parut. Ahadnya pula Sira Pisang. Kedua-dua menu itu aku terlepas kerana awal pagi sudah keluar bertugas. Sebenarnya aku sudah berniat untuk bersarapan dengan Nasi Kerabu Daging Bakar dengan Ikan Tongkol campur Timun Bendang di Pasar Bandar Baru Bangi.

Menu Isninnya hampir menitiskan air mata aku – Ubi Rebus bercecahkan kelapa parut. Sebelahnya hirisan-hirisan yang mulanya aku sangkakan Ubi Keledek Rebus atau Bakar tetapi rupanya Ubi Kentang. Kebetulan ada Sambal Tumis Ikan Bilis (untuk Nasi Lemak) dan hirisan Ikan Masin (untuk Bubur Nasi) yang menyelerakan aku untuk dicecah bersama-sama Ubi Rebus ini.

Tiba-tiba aku terkenangkan Maklong Huduh aku di Batu Kurau. Sihatkan dia anak beranak dari demam Cikugunya ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: