Tuesday, July 28, 2009

Jom keluar minum 1

Jom keluar minum 1

Mukadimah

Satu hari itu (ketika aku masih bekerja di Taiping), orang rumah seorang aku itu membelek bil telefon hp aku yang sudah dibayarnya (dia tolong pergi bayar aja!).

“Bang, sehari abang telefon saya berapa kali?”

”Kenapa pula Yang tanya macam tu?”

“Dalam bil ini, banyak betul no. HP Suhaimi, no. HP Manjoi dan no. Izaham! Satu kilangpun sehari abang telefon dia orang lebih 3 kali!”

“Memang 1 kilang tapi pejabat lain-lain!”, jawab aku sambil cuba mengalihkan tajuk perbualan yang lain.

Monolog

Sebenarnya memang hampir setiap hari aku akan telefon geng-geng ini lebih dari 3 kali. Awal pagi ajak pergi sarapan di kantin. Belum pukul 10 sudah telefon ajak pergi Club House. Itu kira sibuk sangatlah. Kalau free sikit kami pergi perkena Nasi Lemak Sup Kaki Ayam di Gerai Makcik Sarawak Medan Kamunting. Tidakpun Nasi Lemak Sotong Mak Tom sebelah Petronas Kamunting itu.

Kadang-kadang bergilir Roti Canai Basir atau Roti Canai Lan anak aruah Pakcik Aziz Ketiaw Kerang Pasar Malam (Mee Kari diapun sedap juga!). Lebihnya di Warung Mamak Basir ini ada Tosei dan Capati.

Kalau free banyak kami pergi perkena Beehoon Sup Abang Rosli Pasar Tani Taiping. Kalau tidakpun hingga ke Tupai perkena Nasi Lemak Executive.

Kalau perut masih sendat sarapan, kami perkena Rojak Buah di Irene Food Stall.

Kalau ke Taiping boleh singgah Cendol Ansari.

Jam dekat pukul 12.00, mula menelefon lagi merancang nak ke mana. Kalau jemu Restoran Pak Lang Asam Pedas, kami pergi perkena di warung kecil depan Kilang Tiub Everthrough.

Bila pukul 3 mula rasa nak Goreng Pisang di warung kecil tepi Surau di Taman Yayasan. Kadang-kadang lajak ke Stesen Keretapi perkena Roti Jala.

Kalau mood baik kami lajak sampai ke Matang perkena Mee Udang Mak Teh takpun Mee Udang Salleh.

Bila dekat nak habis time kerja pukul 5.30, telefon sekali lagi mana nak singgah sebelum balik rumah. Kadang-kadang Beehon Sup Sharil (Beehon Sup Railway) depan Stesen Bas Kamunting. Biasanya kami lepak perkena Teh Tarik di Restoran Wak Nasi Padang di Medan Kamunting saja. Inipun boleh perkena Roti Canai main-main sahaja!

Penutup (Moral of the story)

1. Kalau tak mahu orang tengok bil telefon (termasuklah orang rumah sendiri), pergi bayar sendiri!
2. Nak mudah lagi (nak selamat?) tukar saja alamat bil itu ke tempat kerja.

Tapi aku tidaklah sampai begitu :-)

No comments: