Wednesday, July 08, 2009

Makan Sotong Janggut dan Kari Kepala Ikan Bawal di Warung Permai Tepian, Kampung Pertama, Seberang Prai



Makan Sotong Janggut dan Kari Kepala Ikan Bawal di Warung Permai Tepian, Kampung Pertama, Seberang Prai.

Kalau kebetulan berada di Seberang Prai pada hari Selasa dan Warung Ikan Bakar Masjid Batu tutup, boleh lajak ke Warung Permai Tepian di Kampung Pertama, Seberang Prai. Lokasinya di jalan menghala ke Permatang Nibung selepas 200 meter persimpangan lampu isyarat di antara Masjid Batu/Masjid Papan dan lampu isyarat UiTM Seberang Prai.

Warung Permai Tepian di Kampung Pertama ini lebih dikenali dengan Warung Tepi Sawah kerana ianya berhadapan dan dikelilingi sawah bendang.

Menu yang terkenal di sini ialah Sambal Sotong Janggut dan Kari Kepala Ikan Bawal. Manakala menu ala kampung ialah Gulai Ikan Kering, Rendang Siput Sedut (biasanya Masak Lemak di tempat lain!), Gulai Rebung dan Keladi Asam Pedas. Terdapat juga Ikan Keli dan Bawal yang dimasak secara Goreng dan Masak Cabai, dan Ikan Pari Rebus dengan Air Asam. Menu yang lain ialah ala-ala Nasi Kandar Mamak iaitu Ayam Madu, Daging Masak Kicap, Kari Sotong dan Kari Ikan.

Menu sampingan ialah Kerang Rebus dan Air Asam Kicap Cabai serta ulam-ulam kampung dengan Sambal Belacan.

Menu ringkas yang saya pernah makan di sini pada awal tahun ini ialah sepinggan Nasi Setengah, Sambal Sotong Janggut (2 janggut), seketul Ikan Bawal gulai, Ulam Bendi dan Petai Rebus serta Sambal Belacan. Harganya RM 5.00 tidak termasuk minuman.

Waktu operasinya dari 7 pagi hingga 3 petang. Walaupun begitu menu penuh seperti di dalam gambar boleh mula dinikmati seawal 11 pagi. Warung ini ditutup hari Jumaat. Kalau kebetulan ada berhampiran sini di hari Jumaat bolehlah pula perkena ikan bakar di Warung Ikan Bakar Masjid Batu!

Di perkarangan warung ini terdapat gerai rojak dan gerai makanan ringan yang turut menjual surat khabar dan pelbagai ubat-ubat tradisional.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/





























1 comment:

lukmanw@gmail.com said...

Nasi Tambah di sini adalah percuma!