Slumdog Millionaire
Ramai kenalan rapat aku mengetahui bahawa aku pernah berkata aku akan menjejak kaki ke China dan/atau India dahulu sebelum menamatkan zaman bujang aku. Entah mengapa dua negara ini seolah-olah mengamit aku untuk menjelajahnya.
Semasa zaman remaja aku sering mengimpikan menjelajah benua China dan India dengan menggunakan laluan darat, tidak kiralah motosikal, kereta ataupun keretapi. Mujurlah aku berpeluang menyertai beberapa kali rally dan ekspedisi ke China hinggalah ke sempadan Tibet. India pula sampailah ke sempadan! Kalau tidak kesampaian, mungkin belum lagi aku berumahtangga!
Malam tadi jam 10.00 malam hingga 12.00 tengah malam, aku dan isteri aku seorang itu berpeluang menonton filem Slumdog Millionaire di Astro. DVD filem keluaran 2008 ini sebenarnya adalah antara filem yang dicari-cari semenjak tahun lepas lagi.
Filem Slumdog Millionaire ini diarahkan bersama oleh Danny Boyle dan Loveleen Tandan dan diadaptasi dari novel Q&A (2005).
Ianya mengisahkan Jamal Malik, seorang pembantu pejabat (pembacuh teh) yang menyertai rancangan Who Wants to be a millionaire? versi India. Setelah Jamal berjaya melepasi soalan bernilai Rs 10 Juta dan rancangan tertangguh untuk soalan terakhir yang bernilai Rs 20 Juta, pengacara rancangan Prem Kumar (lakonan Anil Kapor) telah membuat laporan polis bahawa Jamal telah menipu semasa menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.
Bermulalah rentetan cerita bagaimana kesemua soalan-soalan yang ditanya mempunyai hubungkait diri Jamal sebagai anak kecil dari kawasan setinggan Juhu Slum di pinggir kota Mumbai yang membesar bersama abangnya, Salim dan seorang kenalan perempuan Latika.
Filem dikategorikan sebagai buatan British ini turut memuatkan adegan tipikal filem Hindi iaitu nyanyian dan tarian di stesen keretapi. Gubahan lagu oleh A.Rahman, seorang Komposer yang kini menempah nama di Hollywood dan juga di China.
Kalau anda ingin mengetahui kisah sebenar kehidupan di sebalik India, inilah filem terbaik untuk ditonton.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment