Restoran Simpang Tiga Cita Rasa Khas Padang / Moden
Biasanya kalau adik aku tauke Farmasi Omega di Kampar dan Tapah itu memberi tahu mana-mana restoran atau kedai makan yang baru dibuka pastinya aku akan menjawab - kami sudah pergi ke situ. Tetapi tidak sekali itu!
Empat, lima bulan lepas dia menceritakan sebuah restoran baru yang bermenukan Nasi Padang dibuka di Greentown, Ipoh. Khabarnya dirasmikan oleh DYMM Sultan Perak. Kagum juga mendengarkannya sementelah di Greentown dan di bandar Ipoh sendiri kini terlalu banyak restoran mamak nasi kandar dan masakan Thai.
Petang tadi aku dan anak jantan seorang aku itu ke Manjung. Awal paginya aku menghantar orang rumah seorang aku itu menaiki bas sewaan jabatannya di Taiping. Seluruh guru-guru tabika Jabatan Perpaduan di Perak berkumpul di Dewan Merdeka Seri Manjung untuk mendengar taklimat Ketua Pengarah JPN. Petangnya puas juga aku mengajak anak jantan seorang aku itu ke Manjung dengan "serampang dua mata" - kononnya nak mengambil pulang isteri (walaupun tersedia bas untuk pulang ke Taiping!) dan pada masa yang sama bolehlah meronda-ronda.
Cadangnya setelah menjamu mata di Lumut Water Front, kami akan ke Segari untuk melihat matahari terbenam dan kalau sempat singgah Kuala Trong untuk makan laksa di jeti.
Last minute kami tukar rancangan, kami ke Ipoh. Mulanya kami bercadang nak mencuba set masakan Thai di Restoran Nasi Lemak Ayam Kampung Tom Yam, tiba-tiba teringat Restoran Simpang Tiga ini yang belum lagi pernah kami singgah.
Dengan "tag line" nya Cita Rasa Khas Padang / Moden, tersergam lauk-pauk yang telah siap dimasak dalam ruangan bercermin yang mudah dilihat untuk membuat pilihan. Tersedia juga menu bergambar tetapi dengan melihatnya sendiri lebih mudah membuat pilihan.
Aku ternampak ulam-ulaman untuk Nasi Lelapan. Rupanya di sini hanyalah ulaman Lelapan tiada set lengkap berlauk seperti di Miri atau Brunei.
Kami memilih beberapa menu siap dimasak seperti;
Dendeng Balado RM 10.00
Sambal Terung Kering dengan Ikan Bilis RM 3.80
Gulai Telur Lemak RM 3.50
Ulaman Lelapan RM 2.50
Nasi Puteh RM 3.00
Kami juga memilih menu ala-carte iaitu Sotong Goreng Tepung RM 12.00
Cuci calat kami tiga beranak. Tumpuan kami ialah Dendeng Baladonya yang sudah tentu dengan Sambal Chili Hijau, di sini terdapat juga Sambal Chili Merah
Walaupun begitu daging Dendeng Belado-nya agak keras dan liat. Mungkin kalau makan waktu tengahari dagingnya masih lembut atau rapuh seperti di Gerai No 31 Densiko di Pusat Penjaja Bangunan Larut Matang, Jalan Panggung Wayang, Taiping. Malah di restoran inipun tidak kelihatan Masak Lemak Perut samada Sumbat Telur ataupun Kosong. Tidak pasti sama ada telah habis atau memang tiada dalam menu.
Kuah Gulai Telur Lemaknya mengancam! Siap kami minta tambah lagi.
Manakala Sotong Goreng Tepungnya excellent! Walaupun tepungnya tidak banyak membalut Udang tetapi kerak tepungnya lembut manakala isi sotongnya pula manis!
Selesai isteri aku membayar, semasa dalam perjalanan ke kereta aku terasa tidak sedap hati apabila diberitahu set makan malam kami tadi berjumlah RM 26.55 sahaja.
Apabila meneliti semula bil, rupa-rupanya gadis kasyier itu tidak memasukkan bayaran untuk Sotong Goreng Tepung. Berpatah semula kami untuk membayarnya. Tak kan nak makan free!
Kesimpulannya, bolehlah! Mungkin jika menjamu selera di waktu makan tengahari dengan lauk-pauk yang baru dimasak akan lebih menyelerakan.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com
*Menu bergambarnya memudahkan kita membuat pilihan dengan senarai harga yang tertera tetapi banyak sangat dengan sticker N/A - Not Available!
2 comments:
sedapnye..sy google restoran mskn padang membawa sy ke blog saudara..salam ukhuwah dr seri iskandar
Assalam Sdr
Setakat ini (pandangan saya) restoran ini sesuai dikunjungi waktu tengahari untuk Nasi Padangnya. Kalau selepas tengahari (selepas 3pm) laukpauk Nasi Padangnya agak sejuk.
Post a Comment