Saturday, February 13, 2010

Taiping Lake Garden 1


Taiping Lake Garden 1

Damainya hati di Lake Garden

Pagi semalam selepas menghantar anak jantan aku seorang itu ke sekolah, aku termangu keseorangan. Mulanya terasa hendak berbasikal tetapi janggal pula berseorangan mengayuh. Tiba-tiba teringat dua, tiga hari lepas aku menerima panggilan telefon dari seorang pekerja pembersihan MPT di Taman Tasek Taiping memaklumkan daun teratai sudah terdampar besar. Sememangnya aku sering memesan kepada kenalan ini agar memberitahu aku kalau daun teratai sudah terdampar besar. Biasanya daun teratai di tasek bersebelahan Jalan Kedamaian (dulunya Jalan Air Terjun) itu hanya sebesar tapak tangan orang dewasa.

Entah mengapa teratai ini dari daun hingga ke bunga serta bijinya begitu memikat hati aku. Sementelah aku mengetahui bahawa tumbuhan teratai ini sinonim dengan persekitaran ekologi di sekelilingnya. Malah di Putrajaya, teratai dibiak sebagai pengukur persekitaran ekologi di tasik-tasik di sana.

Alang-alang ke Taman Tasek Taiping boleh juga aku mengeluarkan peluh dengan berjogging berjalan kaki mengelilingi tasek.

Aku sampai di tempat letak motosikal dan kereta (1) berhadapan replika bola golf itu pada jam 7.40 pagi. Aku memulakan perjalanan ke persimpangan Seri Malaysia dan Penjara Taiping berdekatan Gelanggang Street Soccer (2). Kemudiaannya menuju ke tasek teratai di Jalan Kedamaian (3).

Singgah sebentar mengambil gambar dan berkesempatan berbual dengan pekerja-pekerja MPT yang kebetulan mengenali aku. Sehingga kini pekerja-pekerja MPT ini mengenali aku sebagai Lukman Silverstone ataupun Lukman Cub Prix.

Aku meneruskan perjalanan melalui jambatan bengkok ke Zoo Taiping (4) sebelum ke laluan menghala ke SERATAS (5).

Aku menyambung perjalanan aku ke Padang Tupai dan Hotel Flemington (6) yang baru dibuka tahun lepas. Sebenarnya bersebelahan hotel ini iaitu Pearl Apartments adalah antara rumah pangsa terawal di Taiping.

Berhampiran Pearl Apartments ini dahulunya terbina sebuah litar BMX (7) di mana aku pernah menjadi sebahagian daripadanya. Litar BMX ini menyerupai Litar Lumba Suzuka kerana mempunyai flyover. Kini ianya telah ditumbuhi rumput tetapi masih ternampak ”whoop de do” atau batas ubinya di kawasan ini.

Hotel Lake View atau Rumah Tumpangan Lake View (8) sudah mula dengan keghairahan sambutan Tahun baru Cina. Kawasan di persekitaran sini sebenarnya ”agak gelap” terutama di waktu malam.

Aku meneruskan perjalanan ke Jeti Bot Kayuh (9) dan terserempak dengan beberapa orang pelajar yang sedang asyik melukis permandangan di situ. Rupa-rupanya mereka adalah pelajar UiTM jurusan Perancangan Bandar.

Air pancut tajaan Sprizer (11) berterusan menjulang ke langit. Bagaimanapun apabila aku singgah di jeti Air Pancut ini, ianya sudah terhenti.

Senpat juga berhenti seketika di tempat permainan kanak-kanak bersebelahan gelanggang tenis (10). Banyak peralatan telah diperbaiki. Sebelum ini keadaannya agak mendukacitakan.

Berhampiran di sini adalah bekas litar sementara Cub Prix (12) yang pernah aku kelolakan pada tahun 90an. Di sini jugalah semasa Cub Prix aku jatuh hati kepada seorang gadis pencatat masa yang kemudiannya kini menjadi isteri aku. Walaupun sebelum itu aku beberapa kali terserempak dengannya di beberapa aktiviti rekreasi luar, hanya di Cub Prix ini baru hajat tersemai perasaan berputik.

Perjalanan aku berakhir di tempat letak motosikal dan kereta tapi sebelum itu sempat juga aku melawat Rumah Rehat Taman Tasek yang kini dikenali sebagai Casuarina Inn Taiping (13).

Tamat 10.30 pagi perjalanan aku mengeluarkan peluh.

(Peluh ini kemudiannya bersambung berganti dengan Ketiaw Goreng di Gerai JPS bersebelahan Muzium)

Bersambung.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/














No comments: