Friday, February 13, 2015

Perut Sumbat Telur dan Otak Masak Lemak












Perut Sumbat Telur dan Otak Masak Lemak

Saya tidaklah sampai ke peringkat melantak macam Zimmern dalam siri tv Bizarre Foods with Andrew Zimmern. Apatah lagi makanan yang tidak halal dimakan.

Tetapi ada juga makanan yang bukan semua orang “boleh” memakannya menjadi kegemaran saya seperti Perut Lembu. Banyak posting dalam blog dan fb saya berkenaan Perut Lembu dan menu berkaitannya.

Hari ini sebelum Jumaat bersama seorang rakan, saya singgah di Gerai No 31, Desinko Masakan Minang di Casual Market Bangunan Larut Matang. Ini adalah gerai kegemaran saya jika hendak makan Masakan Minang.

Hari ini masih ada berbaki seketul (segulung?) Perut Sumbat Telur Masak Lemak. Selalunya kalau sekitar jam menghampiri 1.00 petang, menu ini sudah tinggal bekas.

Saya juga diperlawakan Menu Otak Masak Lemak. Biasanya saya tidak memilih Menu Otak kerana saya cepat merasa “mual” apabila memakannya. Ini kali pertama saya berjumpa Menu Otak di Gerai Desinko ini.

Tetapi Menu Otak Masak di Gerai Desinko ini tidak seperti di tempat lain yang biasa saya makan.  Menu Otak Masak Lemaknya memang kena dengan citarasa saya. Tidak terlalu berlemak santan dan tidak terlalu pedas!

Sebut pasai pedas, hari ini tiada Sambal Hijau. Hanya sambal biasa sahaja. Biasanya mesti ada Sambal Hijau yang menjadi trade-mark Masakan Minang ini.

Semasa makan Nasi Puteh dengan dua menu ini sahaja, tuan kedai berbual dengan saya.  Oleh kerana saya juga pengemar Urat Keting, in sya Allah bila dia dapat Urat Keting (masih dengan kulit) dia akan masak menu special untuk saya. Dia juga pelawa saya datang ke gerainya esok untuk makan Keropok Kulit Lembu!

Ini sudah macam nak jadi Mr. Zimmern!


http://orangkecilorangbesar.blogspots.com

No comments: