Friday, February 19, 2010

Syurga buku di Chow Rasta













Syurga buku di Chow Rasta

Ada yang memanggilnya Bazar Chow Rasta dan ada yang memanggilnya Pasar Chow Rasta. Kalau pergi Penang tak beli Jeruk Pala di Chow Rasta macam tak sah pergi Penang. Itu kata orang dulu-dulu, sekarang di Chow Rasta bersepah pelbagai jeruk dari dalam dan luar negara. Malah jeruk-jeruk ini juga boleh didapati di mana-mana ceruk merata tempat sekarang ini di Malaysia.

Sebenarnya pagi tadi aku ke Pasar Lambak Rope Walk di Lorong Kulit belakang Stadium. Entah mengapa Apek Buku Lama dan Ane Buku Lama itu tidak meniaga hari ini. Setelah pusing lebih kurang 15 minit, aku terus ke Chow Rasta.

Semasa aku belajar di USM Penang dahulu di tahun 1995 dan 1996 (2 tahun di USM Penang, 3 tahun di USM Tronoh dan 3 tahun di USM Transkrian), di Chow Rasta inilah tempat aku membeli buku-buku Engineering. Kebanyakannya buku terpakai tetapi masih dalam keadaan baik. Malah buku-buku yang masih berbalut plastikpun banyak. Jangan hairan kalau terjumpa buku-buku bercop perpustakaan. Tidak pasti sama ada buku-buku bercop perpustakaan ini dicuri keluar ataupun memang buku-buku yang telah dilupuskan.

Berbeza dengan buku-buku atau majalah yang dilambak berselerak di Rope Walk, buku-buku di sini tersusun kemas dan rapi. Kebanyakannya tidak boleh dijangkau oleh pelanggan. Tetapi dengan bantuan penjual, sebarang jenis dan tajuk buku boleh dikenalpasti dengan mudah dan segera.

Sebut sahaja nama buku atau jenis buku, peniaga-peniaga “senior” ini seolah-olah perpustakaan yang mempunyai sistem cataloging tersendiri. Malah kalau anda ragu-ragu mereka sendiri akan mencadangkan beberapa nama dan jenis buku.

Jangan terperanjat juga jika tingkah-laku anda menyebabkan mereka akan “menawarkan” buku-buku yang ehem-ehem isinya!

Kebanyakannya buku dalam Bahasa Inggeris. Tapi buku-buku dalam Bahasa Malaysia juga tidak kurang banyaknya.

Situasi penjualan sekarang nampaknya agak malap. Semalap deretan kedai-kedai lain di tingkat satu Chow Rasta ini. Kedai-kedai buku ini rasanya dimiliki oleh dua, tiga peniaga yang sama. Penjual-penjual kain baju dan kasut lainnya lebih banyak duduk dari melayan pelanggan.

Bagaimanapun harga-harga buku di sini jauh berbeza dengan harga di Rope Walk. Harganya agak tinggi menghampiri 75% nilai sebenar buku baru!

Aku terserempak dengan tiga kanak-kanak darjah 4 yang hendak membeli Kamus. Mereka membayar RM 9.00 untuk dua buah Kamus yang lusuh malah edisinya pula lama. Itupun jenuh aku membantu menawarnya dari harga yang diletakkan iaitu RM 14.00! Kalau di Rope Walk, aku hanya membayar sekitar dua atau tiga ringgit untuk sebuah Kamus sebegini. Malah di rumah dan di pejabat aku sekarang ini sudah ada lebih 10 buah kamus pelbagai penerbitan dan bahasa yang aku beli di Rope Walk.

Seperti biasa di bahagian hadapan Chow Rasta ini adalah peniaga jeruk-jeruk dan cenderahati. Di bahagian dalamnya ialah pasar basah menjual ikan dan sayur. Manakala di sebelah kanannya dahulu terdapat beberapa buah Restoran Nasi Kandar yang terkenal seperti Nasi Kandar Chow Rasta dan Nasi Kandar Globe, tetapi sekarang telah bertukar-milik dan menu ke Nasi Padang.

Sebelah tengaharinya pula hingga ke malam, di sini sibuk dengan gerai-gerai tepi jalan yang terkenal dengan Tauhu Rendang, Air Sarbat, Teh Halia, Laksa dan sebagainya.

Di sebelah kiri Chow Rasta pula kini terdapat beberapa peniaga Melayu yang menjual pelbagai jeruk-jeruk dan beberapa makanan tradisional Melayu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/






























3 comments:

lukmanw@gmail.com said...

Jangan keliru dengan Jeruk Pala dan Jeruk Salak.

speedrider said...

ih ingat lagi time sekolah dulu, ada sorang senior curi buku teks kami..

dan teka, semua buku teks kami dijumpai di chowrasta.. geram betul...

Anonymous said...

Everyone can visit our store at G62,1st Floor Chowrasta Market.We do buy and sell old books.

Nasir – 0125914400