Macam penjara Gua Tada Namo!
Malam tadi aku terserempak dengan Mak Long Huduh di rumah anak saudaranya di Bukit Jana. Kami 3 beranak ke sana kerana turut dijemput menghadiri kenduri masuk rumah baru anak saudara Mak Long Huduh itu.
Baru nak melangkah masuk rumah, Mak Long Huduh bersuara.
“Mu Kola Lumpo, Sarawak lepah gi tapi rumah buruk Mak Long tu setahun pun payah nak tengok muka! Maklong mati nanti kot mu baru nak sampai”
Aku hanya tersengih.
“Durian ada lagi ke Mak Long?” saja aku tanya memanis mulut.
”Mu jangan nak baghung Mak Long Man! Mu bukannya maken durian tu. Durian la ni Babi Huten pun tak maken dah.” masam saja muka Mak Long Huduh aku. Maklumlah aku ini anak saudara kesayangan dia tapi payah sekali nak menjenguk dia di kampung.
Kami terus ke meja makan di mana sedulang talam telah siap terhidang untuk kami 3 beranak. Sebenarnya kenduri sebelah tengahari dan kami 3 beranak hanya baru sampai dari KL setelah singgah di Ipoh untuk satu lagi kenduri. Jadi untuk acara malam ini khas untuk kami 3 beranak sahaja.
Hidangan betul-betul ala kampung siap ada Pajeri Jantung Pisang! Menu lain Gulai Lemak Nenas Ikan Masin, Sambal Tumis Udang dengan Petai, Ikan Kedera Masin Goreng dan Sambal Belacan dan Tempoyak berulamkan Petai Rebus, Pucuk Ubi Rebus dan apa daun lagi aku pun tak kenal. Tepi talam terbungkus Tapai Pulut berbalut dengan Daun Keladi dan semangkuk Bubur Durian dengan Roti Jala.
Tengah sedap balun Gelama Masin dengan Petai Rebus bercicah Sambal Tempoyak, tiba-tiba terdengar latah Mak Long Huduh.
”Man, mu ajar apa anak mu ni? Dahlah macam penjara Gua Tada Namo, siap pegang air menatang jadah ni?”, jerit Mak Long Huduh dari depan ruang rumah.
”Penjara Gua Tada Namo apa pula ni?”, tanya aku kepada isteri aku seorang itu.
Aku terus tinggalkan meja makan. Rupa-rupanya anak jantan seorang aku sedang tayangkan beberapa keping gambar dalam henpon-nya.
"La Mak Long! Itu bukan arak Mak Long. Itu Air Gas perasa buah dari negeri Arab! Tapi Penjara Gua Tada Namo apa dia Maklong?”, aku minta penjelasan Mak Long.
“Itu penjara yang askar Amerika dok seksa banduan tu!”
”Oh! Itu penjara Guatanamo!”
“Sama lah bunyi dia!” Maklong tersengih sambil mengurut dada.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment